KUALA TERENGGANU - Dua gadis berusia 17 tahun direman selama tiga hari bagi membantu siasatan berhubung kejadian sekumpulan remaja memalukan seorang lelaki kurang upaya yang dikenali sebagai ‘Pok Ya Cong Codei’.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Sesyen/Majistret Kuala Terengganu, Rosila Nik bermula hari ini sehingga Khamis depan.
Kedua-dua suspek ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana perkataan atau isyarat yang dimaksudkan mengaibkan kehormatan seseorang dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Difahamkan, polis kini sedang mengesan dua lagi rakan suspek yang berada di tempat kejadian bagi membantu siasatan dan polis turut merampas beberapa barang kes termasuk dua telefon bimbit untuk siasatan.
Dalam kejadian awal pagi Ahad lalu, kumpulan remaja itu dikatakan bertindak membogelkan mangsa, sebelum menabur pasir ke alat sulitnya.
Malah, kedua-dua tangan lelaki lembam itu turut diikat dan kejadian itu difahamkan berlaku di Pantai Batu Burok, Kuala Terengganu.
Bagaimanapun, rakaman kejadian itu tular di Facebook tidak lama kemudian dan mendapat kecaman dari netizen yang berang dengan kejadian berkenaan dan meminta pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Pok Ya terkenal di kalangan orang tempatan dan sering menghiburkan pengunjung di Pantai Batu Burok sebagai pemuzik jalanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.