Home » » 205 pelajar jadi mangsa kempen BN

205 pelajar jadi mangsa kempen BN

Written By canang on Jumaat, 23 April 2010 | 4/23/2010 08:00:00 PG

HULU SELANGOR, 22 April: 205 dari 414 lepasan SPM di sini tahun lalu, bersama ibu bapa masing-masing, yang memohon untuk menyambung pelajaran ke politeknik di seluruh negara tahun ini telah menjadi mangsa kempen Umno-BN, sempena pilihanraya kecil Parlimen Hulu Selangor 25 April ini, semalam.

Untuk mendapatkan surat tawaran kemasukan ke politeknik bagi pengajian peringkat diploma, mereka dipaksa berkumpul di Kolej Komuniti Hulu Selangor yang terletak di Batang Kali dan menghabiskan masa sehari dari jam 9 pagi hingga 4 petang di kolej tersebut.

Meskipun pelajar-pelajar terbabit terdiri daripada mereka yang sememangnya berkelayakan, setelah dilulus tapis permohonan yang dikemukakan menerusi on-line sebaik menerima keputusan SPM tahun lalu, mereka tetap juga diminta hadir dan berkumpul di kolej itu bagi menjayakan program yang telah dirancang oleh pihak Umno-BN bersama pentadbiran institusi itu.

Pada hal penyerahan surat tersebut, seperti yang lazim dilakukan oleh politeknik sebelum ini, tidak pernah dilakukan menerusi majlis khas seperti itu. Sebaliknya, ia hanya dihantar oleh pihak pentadbiran politeknik menerusi pos sahaja ke rumah-rumah pelajar terbabit.

Justeru menerusi 'Program Sehari Politeknik KPT Bersama Rakyat Parlimen Hulu Selangor' bagi acara Penyerahan Surat Pra-tawaran Kemasukan Ke Politeknik itu, jelas membuktikan program tersebut mempunyai muslihat politik yang ketara oleh pihak Umno-BN bagi meraih undi para pengundi di Hulu Selangor, walaupun terpaksa memperalatkan para pelajar dan ibu bapa.

Lebih ketara lagi apabila program itu juga turut melibatkan Menteri Pengajian Tinggi sendiri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang turut memperuntukkan sekitar dua jam dari masa kempennya di Hulu Selangor untuk menyampaikan surat tawaran itu kepada pelajar-pelajar terbabit, sebelum disambung oleh pihak pentadbiran politeknik.

Bagaimanapun, daripada 441 pemohon yang dipanggil untuk mengambil surat tawaran itu, hanya 205 sahaja yang hadir. Mereka yang hadir dijamin akan diterima masuk ke institusi itu, manakala nasib mereka yang tidak hadir tidak pula diketahui selepas ini.

Sempena majlis itu, Datuk Khalid turut menyampaikan sumbangan yang disumbangkan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 50 pelajar miskin yang terdiri daripada pelajar-pelajar Melayu, Cina dan India di Hulu Selangor yang menuntut di tingkatan satu hingga empat, berupa kemasukan RM150 sebulan ke akaun pelajar-pelajar terbabit menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

Daripada 50 pelajar terpilih untuk menerima sumbangan tersebut, jumlah besarnya terdiri daripada pelajar-pelajar kaum India.

Pilihanraya kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor yang akan diadakan 25 April ini menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim dan calon BN dari MIC, P Kamalanathan.

Mengikut bancian yang dilakukan oleh pakar-pakar strategi PKR dan BN sehingga ke hari ini, Zaid mendapat sokongan yang jauh lebih besar berbanding Kamalanathan terutama daripada kaum Cina dan India.

Oleh itu, pemilihan terhadap pelajar dari kaum India yang jauh lebih besar berbanding kaum lain untuk menerima sumbangan itu turut dilihat sebagai salah satu unsur kempen oleh pihak BN untuk meraih undi kaum undi terhadap calon BN.

Lebih jauh dari itu, jumlah pelajar miskin di Hulu Selangor jauh lebih besar jumlahnya berbanding jumlah yang dipilih untuk menerima sumbangan itu. Kemiskinan di Hulu Selangor pula bukan hanya di kalangan kaum India, tetapi juga di kalangan orang Melayu.

Jadi pemilihan ke atas kaum India yang jauh lebih besar jumlahnya berbanding orang Melayu untuk menerima sumbangan itu turut menjadi tanda tanya di kalangan orang ramai, lebih-lebih lagi ia disampaikan ketika kempen pilihanraya.



Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger