Home » » Galas:Tengku Razaleigh setuju

Galas:Tengku Razaleigh setuju

Written By canang on Selasa, 5 Oktober 2010 | 10/05/2010 02:30:00 PTG

PUTRAJAYA - Sepanjang pengetahuan pengurusan BN, veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah bersetuju untuk menjadi Pengarah Pilihan Raya BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor semalam berkata, surat pelantikan itu telah pun ditandatangani Perdana Menteri, yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan akan diserahkan kepada Ahli Parlimen Gua Musang itu sekembalinya beliau ke tanah air dijangka Jumaat ini.

“Bagi kita, pada masa ini, beliau (Tengku Razaleigh) telah bersetuju menjadi Pengarah Pilihan Raya DUN Galas.

“Beliau adalah orang yang tepat memandangkan beliau adalah Ketua Bahagian, beliau tahu kawasan itu dengan lebih baik daripada orang lain. Jadi kita berharap beliau dapat membantu kita untuk mendapat balik Galas kepada BN,” katanya kepada media selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah 2010, di sini.

Tengku Adnan berkata, tindakan pengurusan untuk melantik Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kawasan itu turut mendapat restu dan sokongan Badan Perhubungan UMNO Kelantan.

Jumaat lalu, Tengku Razaleigh membuat kenyataan dalam laman sosial Twitternya bahawa beliau tidak menyatakan ya atau tidak apabila dilantik ke jawatan itu, dan akan menjelaskannya apabila beliau kembali ke Malaysia.

Ditanya mengenai kemungkinan untuk melantik Tengku Razaleigh sebagai calon BN bagi kawasan DUN itu, Tengku Adnan berkata, pihak pengurusan akan mendengar apa sahaja cadangan Tengku Razaleigh sebagai pengarah pilihan raya kecil itu.

Ditanya sama ada UMNO selesa sekiranya Tengku Razaleigh dipilih sebagai calon, katanya, UMNO akan selesa dengan sesiapa sahaja yang dapat memenangi kerusi itu dan dapat berkhidmat dengan baik kepada rakyat di kawasan itu.

Mengulas kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyifatkan cadangan melantik Tengku Razaleigh sebagai calon adalah tidak wajar, beliau berkata, kenyataan seumpama itu dikeluarkan kerana mereka bimbang BN akan dapat merampas semula Galas.

Di PETALING JAYA, Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, BN yakin untuk merampas semula kerusi DUN Galas pada pilihan raya kecil itu nanti.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, beliau akan melawat kawasan itu minggu hada- pan bagi menilai keadaan dan usaha memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil itu nanti akan diserahkan kepada Timbalan Ketua Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin. - Bernama

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger