Kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI) melebihi 4.6 juta di negara ini didakwa didalangi oleh orang-orang politik serta ejen-ejen penyedia perkhidmatan warga asing yang bergiat aktif secara haram sejak beberapa tahun lalu.
Perkara itu didedahkan oleh Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah pada satu sidang akhbar, pada Rabu.
Beliau berkata, isu PATI ini tidak akan selesai meskipun kerajaan melakukan pelbagai cara malah pembabitan orang politik itu akan menyebabkan masalah PATI di negara ini akan bertambah teruk lagi.
“Kita biasa dengar anggota penguatkuasa diheret ke mahkamah dan dikenakan hukuman kerana terlibat dengan rasuah melibatkan PATI.
“Tetapi kita jarang sekali mendengar orang politik didakwa kerana perkara sama. Hal ini adalah kerana mereka itu ada kuasa politik yang menyebabkan mereka kebal daripada undang-undang,” katanya.

Pada sidang akhbar sama, Ridzuan turut mendedahkan tentang pembabitan 15 ejen haram yang terlibat melakukan perkara itu dan aktif bergerak sejak beberapa tahun lalu.
Kesemua ejen terbabit katanya, beroperasi di ibu negara dan turut didakwa mempunyai hubungan yang rapat dengan pegawai dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Jelasnya, beliau mempunyai bukti bagi menunjukkan kebenaran tentang apa yang didakwanya itu.
“Saya ada seorang rakan yang mengusahakan sebuah restoran dan memerlukan pekerja asing sebagai pembantu.
“Untuk tujuan itu dia telah berurusan dengan pihak KDN bagi membawa masuk pekerja asing seramai 20 orang.
“Apa yang menghairankan, rakan saya itu telah dihubungi oleh seorang ejen yang boleh menguruskan kemasukan pekerja asing tersebut dengan mengenakan bayaran perkhidmatan sebanyak RM1,000 untuk setiap seorang,” katanya.
Jelas beliau, apa yang menghairankan, bagaimana ejen itu boleh mengetahui bahawa rakan saya memerlukan pekerja asing sedangkan dia tidak pernah mendapatkan khidmat daripada mana-mana agensi.
Perkara lain yang turut dipersoalkan ialah dari mana ejen tersebut memperoleh nombor telefonnya.
Pada Isnin lepas, KDN menegaskan hukuman sebat akan dikenakan kepada kakitangan dan juga pegawai Jabatan Imigresen yang didapati bersalah kerana bersekongkol dengan ejen yang terlibat membawa masuk PATI secara haram ke negara ini.
Hukuman itu adalah sama berat dengan ejen yang didapati bersalah melakukan perkara tersebut.
Bagaimanapun, langkah yang hendak dilaksanakan oleh KDN itu mendapat reaksi kurang memberangsangkan daripada beberapa pihak yang turut mahu langkah itu dikaji semula.
Mengulas mengenai hukuman sebat terhadap kakitangan dan pegawai Imigresen tersebut Ridzuan berkata, langkah itu hanya akan menyebabkan orang politik yang terbabit melakukan perkara itu menjadi lebih kebal dan tidak membantu mengurangkan masalah PATI.
Katanya, orang-orang politik itu akan terlepas daripada hukuman sebaliknya, penjawat awam dari agensi itu hanya menjadi kambing hitam menutup kesalahan mereka.
Dalam pada itu, Ridzuan berkata, pihaknya akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat supaya langkah-langkah tertentu dapat diambil terhadap orang-orang politik yang terlibat.
Katanya lagi, perkara sama turut dilakukan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar tindakan dapat dikenakan kepada ejen terbabit.