Ridzuan menjelaskan meskipun kerajaan melakukan pelbagai cara namun masalah PATI di negara ini tidak akan berkurang. - Foto TRP/Mokhsin Zamani
Kebanjiran pendatang asing tanpa izin
(PATI) melebihi 4.6 juta di negara ini didakwa didalangi oleh
orang-orang politik serta ejen-ejen penyedia perkhidmatan warga asing
yang bergiat aktif secara haram sejak beberapa tahun lalu.
Perkara itu didedahkan oleh Presiden
Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd
Ridzuan Abdullah pada satu sidang akhbar, pada Rabu.
Beliau berkata, isu PATI ini tidak akan
selesai meskipun kerajaan melakukan pelbagai cara malah pembabitan orang
politik itu akan menyebabkan masalah PATI di negara ini akan bertambah
teruk lagi.
“Kita biasa dengar anggota penguatkuasa diheret ke mahkamah dan dikenakan hukuman kerana terlibat dengan rasuah melibatkan PATI.
“Tetapi kita jarang sekali mendengar
orang politik didakwa kerana perkara sama. Hal ini adalah kerana mereka
itu ada kuasa politik yang menyebabkan mereka kebal daripada
undang-undang,” katanya.
Pada
sidang akhbar sama, Ridzuan turut mendedahkan tentang pembabitan 15
ejen haram yang terlibat melakukan perkara itu dan aktif bergerak sejak
beberapa tahun lalu.
Kesemua ejen terbabit katanya,
beroperasi di ibu negara dan turut didakwa mempunyai hubungan yang rapat
dengan pegawai dalam Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Jelasnya, beliau mempunyai bukti bagi menunjukkan kebenaran tentang apa yang didakwanya itu.
“Saya ada seorang rakan yang mengusahakan sebuah restoran dan memerlukan pekerja asing sebagai pembantu.
“Untuk tujuan itu dia telah berurusan dengan pihak KDN bagi membawa masuk pekerja asing seramai 20 orang.
“Apa yang menghairankan, rakan saya itu
telah dihubungi oleh seorang ejen yang boleh menguruskan kemasukan
pekerja asing tersebut dengan mengenakan bayaran perkhidmatan sebanyak
RM1,000 untuk setiap seorang,” katanya.
Jelas beliau, apa yang menghairankan,
bagaimana ejen itu boleh mengetahui bahawa rakan saya memerlukan pekerja
asing sedangkan dia tidak pernah mendapatkan khidmat daripada mana-mana
agensi.
Perkara lain yang turut dipersoalkan ialah dari mana ejen tersebut memperoleh nombor telefonnya.
Pada Isnin lepas, KDN menegaskan hukuman
sebat akan dikenakan kepada kakitangan dan juga pegawai Jabatan
Imigresen yang didapati bersalah kerana bersekongkol dengan ejen yang
terlibat membawa masuk PATI secara haram ke negara ini.
Hukuman itu adalah sama berat dengan ejen yang didapati bersalah melakukan perkara tersebut.
Bagaimanapun, langkah yang hendak
dilaksanakan oleh KDN itu mendapat reaksi kurang memberangsangkan
daripada beberapa pihak yang turut mahu langkah itu dikaji semula.
Mengulas mengenai hukuman sebat terhadap
kakitangan dan pegawai Imigresen tersebut Ridzuan berkata, langkah itu
hanya akan menyebabkan orang politik yang terbabit melakukan perkara itu
menjadi lebih kebal dan tidak membantu mengurangkan masalah PATI.
Katanya, orang-orang politik itu akan
terlepas daripada hukuman sebaliknya, penjawat awam dari agensi itu
hanya menjadi kambing hitam menutup kesalahan mereka.
Dalam pada itu, Ridzuan berkata,
pihaknya akan menghantar satu memorandum kepada Perdana Menteri, Datuk
Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat supaya langkah-langkah tertentu
dapat diambil terhadap orang-orang politik yang terlibat.
Katanya lagi, perkara sama turut
dilakukan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
agar tindakan dapat dikenakan kepada ejen terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan