Home » » 1 MALAYSIA, ERA NAJIB...Pelajar UiTM dilarang sertai perhimpunan

1 MALAYSIA, ERA NAJIB...Pelajar UiTM dilarang sertai perhimpunan

Written By canang on Jumaat, 31 Julai 2009 | 7/31/2009 10:18:00 PTG

KUALA LUMPUR 31 Julai – Universiti Teknologi Mara (UiTM) memberi amaran keras kepada pelajarnya agar tidak melibatkan diri dalam perhimpunan menyokong atau membantah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) esok.

Naib Canselornya, Prof. Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah menegaskan, tindakan mereka menyertai perarakan dan perhimpunan haram di luar kampus adalah satu kesalahan serius kerana ia tidak mendapat permit polis.

``Para pelajar boleh dikenakan tindakan disiplin di bawah Akta Universiti sekiranya didapati menyertai perhimpunan haram sedemikian.

``Mereka juga tidak sepatutnya terlibat dengan agenda politik masa kini, oleh itu pelajar adalah dilarang sama sekali menyertainya,’’ tegasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein memberi amaran keras kepada orang ramai agar tidak menghadiri perhimpunan tersebut.

Beliau juga mengarahkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan supaya segera bertindak terhadap mana-mana pihak yang menyertainya.

Hishammuddin turut berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan sesiapa sahaja yang cuba mencabar dan menganggu-gugat kewibawaan pihak polis.

Tegas Ibrahim lagi, tugas pelajar adalah menumpukan kepada pelajaran, oleh itu segala kegiatan tidak sihat seperti perhimpunan haram tersebut harus dijauhi.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain mengingatkan para pelajar agar menjauhi perhimpunan tersebut.

``Tiada faedahnya mereka menyertainya, kita umumnya tahu bahawa perhimpunan tersebut adalah perhimpunan haram kerana tiada permit dikeluarkan.

``Keadaan mungkin akan menjadi huru-hara kerana dua kumpulan akan bertemu, penyokong dan juga pembangkang, sekiranya mereka turut ditahan pihak berkuasa, sudah tentu keadaan akan menjadi lebih buruk,’’ katanya.

Beliau mengingatkan para pelajar agar berhati-hati dan tidak terjebak dengan kegiatan seperti itu.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger