Home » » PR desak kerajaan lantik Ketua Polis Negara baru

PR desak kerajaan lantik Ketua Polis Negara baru

Written By canang on Rabu, 29 Julai 2009 | 7/29/2009 09:20:00 PTG


KUALA LUMPUR - Pakatan Rakyat (PR) sepakat mendesak kerajaan supaya tidak menyambung tempoh perkhidmatan Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan dan melantik yang baru.

Forum yang dihadiri pemimpin PR, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan orang awam itu bersetuju supaya institusi polis dirombak bagi menjadikannya lebih bertanggungjawab dan me�mentingkan keselamatan rakyat.

Ketua Umum PR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pakatan pembangkang mengambil tindakan serius terhadap isu itu kerana ia bukan bersifat perkauman, sebaliknya membabitkan kepentingan rakyat keseluruhannya.

Menurutnya, terdapat ramai lagi pegawai polis berkaliber dan mampu memikul tugas KPN yang baru menggantikan Musa.

“Kami berharap KPN sekarang tidak lagi disambung tempoh perkhidmatannya kerana banyak sebab yang dikemukakan dalam forum ini dan juga beberapa parti politik yang mengambil berat mengenai keselamatan rakyat,” katanya ketika mempengerusikan Persidangan Meja Bulat yang bertajuk ‘Ketua Polis Baru untuk Malaysia lebih selamat’ di sini, semalam.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim pula berkata, tindakan menukar KPN yang baru tidak akan menyelesaikan masalah, sebaliknya institusi polis itu sendiri perlu dirombak supaya ia lebih berkredibiliti tinggi.

“Desakan menukar Musa bukan masalah peribadi, sebaliknya adalah masalah yang membabitkan kepentingan dan keselamatan rakyat negara ini.

Sementara itu, pada majlis yang berasingan, Anwar berkata, satu pertemuan segera perlu diadakan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bagi membincangkan isu terdesak yang melibatkan kepentingan rakyat.

Beliau berkata, perkara pertama harus diselesaikan dalam pertemuan itu ialah melibatkan kes kematian Setiausaha Politik Exco Selangor, mendiang Teoh Beng Hock yang menimbulkan banyak keraguan.

"Adalah perlu pertemuan awal dengan Perdana Menteri diadakan susulan perhimpunan yang dilakukan PR pada 1 Ogos ini membantah akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Kita mahukan Perdana Menteri mengambil persetujuan dasar untuk menghapuskan ISA sebelum (perhimpunan)1 Ogos ini,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan PR di bangunan Parlimen, semalam.

Turut hadir, Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail, Penasihat DAP Lim Kit Siang, Presiden Pas dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Anwar turut mendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia( SPRM) telah diperalat oleh UMNO untuk menggugat kestabilan kerajaan negeri Selangor.

"Mesyuarat itu mengambil keputusan tegas mempertahankan kerajaan PR Selangor dan akan mendedahkan kezaliman dan penyalahgunaan kuasa yang dilakukan terhadap pimpinan Selangor," katanya.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger