
Enam bahagian MCA di negeri ini mendesak Presidennya, Datuk Seri Ong Tee Keat berhenti sementara daripada menjalankan tugas-tugas jawatan itu sehingga beberapa isu berkaitan beliau diselesaikan.
Ketua MCA Bahagian Pontian, Datuk Tee Siew Kiong yang mengetuai 62 perwakilan daripada enam bahagian itu berkata, ia penting bagi membolehkan langkah-langkah menyelamatkan MCA dilaksanakan.
Katanya, mereka turut menggesa Jawatankuasa Disiplin MCA mengkaji semula keputusan memecat keahlian Timbalan Presidennya, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek.
"Kami menyeru Lembaga Disiplin menyelidik semula pendirian dan keputusan yang diambil ke atas Soi Lek dalam kejadian rakaman cakera video digital (DVD) lucah," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang pada sidang akhbar di sini hari ini.
Turut hadir ketua-ketua MCA bahagian, pucuk pimpinan dan para perwakilan dari Kota Tinggi, Pontian, Gelang Patah, Tebrau, Tanjung Piai dan Pulai.
Akhbar hari ini melaporkan, krisis kepimpinan MCA semakin meruncing apabila Majlis Presiden menerima cadangan Jawatankuasa Disiplin parti untuk memecat keahlian Soi Lek berkuat kuasa serta merta.
Kata Tee Keat, keputusan sukar itu terpaksa dibuat kerana cakera padat digital skandal seks Soi Lek yang tersebar sebelum ini telah merosakkan imej parti.
Siew Kiong berkata, isu-isu berkaitan Tee Keat yang perlu diselesaikan segera ialah dakwaan menerima derma politik berjumlah RM10 juta, tidak membayar perkhidmatan penerbangan eksklusif, menjejaskan nama baik parti dan menyalahgunakan kuasa berkaitan kes Soi Lek.
Menurutnya, keputusan terhadap Soi Lek perlu dikaji semula kerana tiga daripada lima bekas ahli Lembaga Disiplin telah menyatakan kes itu telah ditutup dan dengan itu tidak boleh kes yang sama dibicarakan dua kali.
Alasan kedua, katanya lagi, pengadu kes tersebut telah menarik balik pertuduhannya.
Tambahan pula, menurut beliau, isu Tee Keat dituduh menerima wang RM10 juga daripada Kuala Dimensi Sdn. Bhd. yang kini hangat dibincangkan masyarakat hingga boleh menjejaskan keyakinan rakyat kepada MCA.
Dalam kes penerbangan eksklusif pula, Tee Keat diminta membuat bayaran atas hutang penerbangan yang telah digunakan oleh ahli-ahli MCA.
Justeru, mereka menghantar surat kepada Lembaga Disiplin parti itu bagi memastikan Tee Keat diberhentikan sementara daripada menjalani tugas presiden.
Antaranya, Siew Kiong berkata, presiden itu perlu berhenti menjalankan urusan berkaitan kepentingan MCA, mentadbir harta parti, menggunakan kuasanya mempengerusikan Majlis Presiden, Mesyuarat Majlis Tertinggi dan sebarang kuasa berkaitan presiden parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan