Home » » 1 MALAYSIA ERA NAJIB,Kerajaan sedia beri tempat:

1 MALAYSIA ERA NAJIB,Kerajaan sedia beri tempat:

Written By canang on Isnin, 3 Ogos 2009 | 8/03/2009 02:20:00 PTG


MUAR - Kerajaan bersedia menyediakan tempat yang bersesuaian kepada mereka yang mahu berhimpun secara aman, seperti di stadium untuk mengelak daripada berhimpun di jalanan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.

“Kita boleh bagi mereka stadium, di mana mereka boleh bertempik sampai Subuh, tapi janganlah buat kacau di jalanan,” kata Najib mengulas perhimpunan haram anjuran pakatan pembangkang di ibu negara kelmarin.

Perhimpunan yang disertai kira-kira 10,000 itu mendesak kerajaan agar menghapuskan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dianggap tidak adil.

Perdana Menteri bercakap pada sidang media selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Pagoh, dekat sini, yang turut dihadiri oleh ketuanya Tan Sri Muhyiddin Yassin, juga Timbalan Perdana Menteri.

Najib juga berkata, kerajaan menyerahkan kepada pihak polis sama ada akan mengambil tindakan terhadap pemimpin pembangkang yang terlibat dalam perhimpunan haram itu.

Katanya, polis mempunyai tanggungjawab untuk menjaga keamanan serta ketenteraman awam, dan tidak mahu kejadian semalam berlaku secara berterusan.

“Terpulang kepada pihak berkuasa (untuk mengambil tindakan). Demonstrasi jalanan adalah sesuatu yang tidak patut diteruskan,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, pihak pembangkang telah menjadikan perhimpunan haram itu sebagai bahan politik untuk menunjukkan seolah-olah kerajaan itu kejam dan tidak bertindak adil dengan undang-undang yang “draconian.”

“Kita kena menjelaskan kepada rakyat tentang apa yang telah dijalankan oleh kerajaan,” kata beliau.

Perhimpunan itu menyebabkan beberapa jalan raya di Kuala Lumpur terpaksa ditutup, mengakibatkan kesusahan kepada peniaga dan penduduk.

Najib turut ditanya mengenai kenyataan Anwar di Muar semalam yang menyatakan bahawa parti pembangkang kini menumpukan usaha mereka di Johor, yang merupakan kubu kuat Barisan Nasional (BN) di dalam persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-13.

“Itu apa yang dia cakap, kita masih yakin UMNO Johor boleh mempertahankan kedudukan UMNO dan BN di Johor,” katanya pada sidang media itu yang turut dihadiri oleh Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Abdul Ghani Othman. - Bernama
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger