
SUBANG JAYA – Kalau topeng mulut menjadi pilihan ramai mencegah diri daripada menjadi mangsa penularan wabak selesema babi (H1N1) dalam negara, lain pula yang berlaku di sebuah kedai emas di tingkat satu, pusat membeli belah The Summit USJ semalam.
Topeng yang kini laris di pasaran itu dijadikan alat penyamaran dua lelaki, mengelak identiti diri dikenali sebelum merompak kedai emas terbabit menyebabkan tuan punya kedai putih mata apabila tujuh dulang emas bernilai ratusan ribu lesap dilarikan.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, dua lelaki yang memakai topeng penutup hidung berlagak seperti pelanggan telah memasuki kedai emas itu sebelum seorang daripada suspek mengacukan sepucuk pistol ke arah tiga orang jurujual yang berada di dalam kedai.
Suspek kemudiannya mengarahkan ketiga-tiga jurujual itu memasukkan tujuh dulang emas yang terletak di ruang pameran ke dalam sebuah beg sebelum bergegas melarikan diri.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Khaw Kok Chin berkata, polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk membantu siasatan.
“Siasatan awal polis tidak menolak ketika kejadian, ada beberapa lagi suspek yang menunggu di luar pusat beli belah untuk mengambil barang kemas dan melarikannya.
“Bagaimanapun polis masih lagi menjalankan siasatan menyeluruh berhubung kejadian,” katanya.
Menurut Kok Chin, tiada pelanggan berada di kedai berkenaan ketika kejadian berlaku dan polis menganggarkan jumlah kerugian mencecah ratusan ribu ringgit.
Sementara itu, seorang jurujual kios aksesori perhiasan wanita yang enggan namanya disiarkan berkata, dia tidak menyedari kejadian rompakan itu berlaku walaupun berada kurang 15 meter dari tempat kejadian.
“Saya tidak menyedari kejadian sehingga beberapa anggota keselamatan dan anggota polis bertanyakan kepada saya sekiranya menyedari kejadian,” katanya ketika ditemui di kiosnya semalam.
Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian agar menghubungi pihak polis bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkumpulan dan menggunakan senjata.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan