Home » » Hukuman sebat model ditangguh hormati Ramadan

Hukuman sebat model ditangguh hormati Ramadan

Written By canang on Isnin, 24 Ogos 2009 | 8/24/2009 11:27:00 PTG


KUANTAN - Hukuman sebat terhadap model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno kerana meminum arak, yang sepatutnya dijalankan minggu ini, ditangguhkan bagi menghormati Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Dakwah dan NGO Pahang, Datuk Mohd Sahfri Abdul Aziz yang mengesahkan perkara itu berkata, Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) menerima arahan daripada Pejabat Peguam Negara bagi menangguhkan sementara hukuman sebat itu.

“Hukuman (sebat) bagaimanapun kekal, dia akan menjalani hukuman selepas Ramadan,” katanya di sini, semalam.

Pagi tadi tiga pegawai penguat kuasa Jaip dipercayai ke rumah Kartika di Sungai Siput, Perak, untuk membawanya ke Penjara Wanita Kajang bagi menjalani hukuman sebat itu.

Namun, mereka kembali semula 30 minit kemudian selepas dikatakan menerima arahan untuk melepaskan sementara ibu kepada dua anak itu.

Pada 20 Julai lalu, Kartika, 32, dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan enam sebatan oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, selepas mengaku salah meminum arak sebuah hotel pada 11 Julai 2008, jam 11.40 malam.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang yang membawa hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan disebat tidak melebihi enam sebatan.

Pada 18 Ogos lalu, Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus memerintahkan Kartika ditahan berkuat kuasa hari ini (semalam) bagi tempoh tujuh hari untuk melaksanakan hukuman sebatan itu.

Kartika adalah wanita pertama yang akan disebat akibat kesalahan meminum arak di negara ini.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger