
BUKIT MERTAJAM -Bekas rakan kongsi Rohaizat Othman, Yusri Isahak mendakwa beliau dijadikan "kambing hitam" berhubung isu pembatalan lesen peguam sivil calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir itu.
Yusri, 39, yang pernah menjadi rakan kongsi Rohaizat selama lima tahun dari tahun 1999 berkata urusan firma guaman mereka itu dilakukan dengan persetujuan Rohaizat.
"Saya tidak menafikan sebarang penyelewengan yang berlaku. Saya nak nyatakan segala perjalanan pejabat termasuk soal cek dan kemasukan fail dilakukan dengan perbincangan bersama rakan kongsi.
"Ertinya apa yang dilakukan rakan kongsi saya dan saya sepatutnya ditanggung kedua-dua belah pihak, bukan saya sahaja," katanya pada sidang akhbar di Yayasan Aman di sini, hari ini.
Selasa lepas, Ketua Penerangan Umno, Ahmad Maslan berkata Rohaizat tidak terlibat dalam sebarang transaksi jual beli tanah yang diuruskan oleh rakan kongsinya bagi pihak Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang Berhad.
Yusri mengakui beliau menyediakan perjanjian jual beli tanah untuk koperasi itu dengan persetujuan Rohaizat.
"Mana mungkin pengaliran keluar dan masuk wang dalam sesuatu akaun syarikat tidak diketahui oleh Rohaizat yang juga penandatangan yang sah untuk akaun-akaun tersebut," katanya yang mengenali Rohaizat sejak 1989 kerana belajar di universiti yang sama.Mengenai dakwaan bahawa beliau melarikan wang syarikat, Yusri berkata: "Kalau ada tuduhan saya lari dengan duit, duit yang ada dalam bank tak boleh dikeluarkan dengan tangan. Kena keluar dengan cek. Sila tampil untuk kemukakan nombor cek."
Yusri, yang tidak berhasrat membuat laporan polis berhubung perkara itu berkata, peguamnya sedang menyediakan dokumen untuk mengambil tindakan undang- undang terhadap individu-individu yang menuduhnya menggelap dan menyalahgunakan wang syarikat.
Katanya beliau tampil untuk membuat penjelasan itu bagi membersihkan namanya yang telah tercemar tanpa desakan daripada mana-mana pihak.
"Saya harap penjelasan saya ini dapat membersihkan diri saya daripada "dikambinghitamkan" dalam kes kecuaian Rohaizat yang membawa kepada pembatalan pendaftaran beliau sebagai peguambela dan peguamcara," katanya.
Katanya beliau akan meminta kebenaran daripada pakatan pembangkang untuk menjelaskan kedudukan sebenar melalui kempen pilihan raya mereka.
Yusri yang ketika ini bekerja sebagai ahli perniagaan berkata beliau tidak lagi menjadi pengamal undang-undang dan lesen guaman sivilnya tidak dibatalkan tetapi beliau tidak memperbaharuinya sejak tahun 2004. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan