
SYDNEY - Jika Malaysia dilanda jerebu akibat pembakaran hutan, satu ribut debu yang berasal dari kawasan pedalaman menyelubungi timur Australia menyebabkan langit di bandar raya Sydney bertukar menjadi warna oren semalam.
Ribut debu itu menyebabkan pengangkutan awam terjejas manakala pihak berkuasa kesihatan memberi amaran berhubung penyakit berkaitan pernafasan dengan meminta orang ramai tinggal di dalam rumah.
Pesawat-pesawat penerbangan antarabangsa dialihkan dari Sydney, perkhidmatan pengangkutan feri ditangguhkan manakala pengguna kenderaan diminta memasang lampu kerana kadar jarak penglihatan terbatas.
Bagaimanapun, suasana itu tidak menyebabkan semua aktiviti terhenti.
Pantai Bondi di Sydney masih dikunjungi oleh peluncur ombak dan kanak-kanak bermain di taman permainan walaupun ruang udara diseliputi dengan warna oren.
Ribut debu itu yang pada mulanya menyelubungi bandar perlombongan Broken Hill kelmarin sebelum bergerak ke timur berpunca daripada debu yang terbang dari kawasan dilanda kemarau.
Pihak berkuasa mendesak orang ramai yang mempunyai penyakit asma atau kesukaran bernafas supaya tinggal dalam rumah atau bangunan.
"Orang ramai yang berdepan dengan risiko ialah kanak-kanak, orang tua, wanita hamil, mereka yang menghidap penyakit jantung dan paru-paru.
"Partikel debu itu akan meningkatkan risiko orang yang menghidap penyakit tersebut menjadi tidak sihat," kata seorang pegawai Jabatan Kesihatan Negeri New South Wales, Wayne Smith.
"Ia seperti hari pertarungan antara golongan baik dengan jahat kerana apabila saya berada di dapur melihat ke arah langit, ia menjadi oren," kata seorang penduduk memberitahu radio Stesen Penyiaran Australia.
Ribut itu dianggap yang terburuk dalam tempoh 70 tahun tetapi tidak ada seorang pun dilaporkan meninggal dunia.
Bagaimanapun, perkhidmatan ambulans melaporkan menerima banyak panggilan telefon daripada orang ramai yang mengalami masalah pernafasan.
Menjelang tengah hari, ribut itu berakhir.
Ribut itu yang membawa 5 juta tan debu itu kemudian bergerak ke negeri Queensland, selatan Australia.
Biro Meteorologi Australia menyatakan ribut petir dan angin kencang yang menerbangkan debu dari kawasan pedalaman dan menyebarkannya ke kawasan penduduk paling padat di Australia.
Angin selaju lebih 100 kilometer sejam turut menyebabkan kebakaran di negeri itu.
"Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku. Kami melihat bumi, angin dan api berlaku secara serentak," kata seorang pakar meteorologi, Dick Whitaker.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan