Home » » AKSI RATU CANTIK MALAYSIA DALAM FILEM CAHAYA

AKSI RATU CANTIK MALAYSIA DALAM FILEM CAHAYA

Written By canang on Khamis, 8 Oktober 2009 | 10/08/2009 09:07:00 PG


MELIHATKAN watak Ratu Cantik Malaysia 2003, Elaine Daly, dalam drama Ku Mohon yang penuh dengan elemen-elemen kesantunan diri bersama aktor kacak Fahrin Ahmad, pasti ramai yang akan terkejut bila Elaine membuat penampilan yang berani dalam filem terbarunya, Cahaya.
Tidak lagi membawakan watak lembut ataupun gadis baik, sebaliknya Elaine memberanikan diri membawakan watak seorang teman sosial.
Filem arahan Johan John itu mungkin akan menimbulkan kontroversi apabila terdapat beberapa babak yang mampu mencetuskan kekecohan di kalangan penggiat filem serta penonton.

Mengejutkan, dalam filem yang turut menggandingkan pelakon Khir Rahman sebagai tukang urut buta, Elaine menunjukkan sebahagian besar tubuh badannya. Malah, dalam salah satu babak filem Cahaya, Elaine menunjukkan bahagian belakangnya dengan hanya mengenakan seluar dalam.Bertanyakan tentang keberanian Elaine dalam Cahaya, pelakon itu menganggap filem tersebut adalah sebuah karya yang begitu indah untuk dipertonton.

"Sebagai seorang pelakon saya perlu membuat satu perkara di luar jangkaan saya sendiri. Dalam filem ini memang ia nampak seperti filem yang tidak senonoh.
"Tetapi sebenarnya tidak. Filem ini lebih pada nilai-nilai artistik dan sesiapa yang menontonnya pasti akan menyukai cara pengarahan Johan. Ia kelihatan seperti kisah benar yang dimainkan dalam filem.
"Mengenai lakonan saya yang separuh bogel itu, saya bukan nak tunjuk tubuh pada penonton mahupun krew-krew filem.
"Lagipun, kalau Datuk Michelle Yeoh boleh bercumbuan dalam filemnya di Hollywood, kenapa tidak saya? Saya bukannya berbogel," tuturnya tenang menjawab soalan.
Beritahu model, pelakon dan pengacara itu, ketika melakonkan babak-babak yang memerlukannya separuh bogel, pihak krew serta pelakon masing-masing menghormati sesama sendiri ketika berlakon.Namun kritikan yang bakal dihadapinya itu tidak membuatkan dirinya lemah kerana bagi Elaine, dia yang menerima tawaran filem tersebut, maka dia jugalah yang akan bertanggungjawab untuk sebarang kontroversi yang bakal timbul.

"Saya tak takut pada kontroversi. Ini adalah pilihan saya. Saya yang mahu mencabar diri untuk membintangi filem ini. Saya nak 'jual' diri saya dan lihat sejauh mana saya boleh pergi dalam bidang lakonan ini.
"Dan tawaran yang saya ambil dalam filem ini juga bukan nak tunjuk badan semata-mata tetapi lebih pada kerjaya profesional.
"Kalau nanti orang akan tanya kenapa saya buat itu dan ini, saya ada penjelasannya. Janji keluarga dan teman-teman rapat tahu apa yang saya lakukan.
Sedia hadapi kontroversi
Wanita berusia 32 tahun itu tahu bila filem Cahaya dikeluarkan nanti, pasti ada kritikan positif dan negatif yang akan dilemparkan."Bagi saya, Cahaya adalah filem yang sangat cantik. Bukan mengenai kewujudan babak separuh bogel, tetapi jalan ceritanya. Kalau mahu filem kita pergi lebih jauh atau menyaingi Hollywood, kena ada sebuah karya yang lebih realistik.

"Lihatlah bagaimana filem Slumdog yang bajetnya sangat kecil boleh meraih pelbagai trofi pada Anugerah Oscar.
"Dalam pada itu, saya bukanlah seorang Islam. Jika saya beragama Islam, memanglah lakonan sebegini tidak patut saya lakukan. Bagaimanapun, saya tetap seorang wanita Malaysia yang mempunyai adat dan budaya Timur," ujarnya yang juga pernah berlakon dalam filem Hollywood, Hidden, bersama Erra Fazira dua tahun lalu.Tambah Elaine lagi, Cahaya merupakan filem terbaik pernah dilakonkannya. Masa penggambaran yang hanya mengambil masa tiga minggu dirasakan terlalu pendek memandangkan krew dan pelakon bekerja dengan cara yang sangat profesional dan tidak tertekan.

Filem itu mengisarkan tentang seorang pakar refleksologi buta, Salleh yang hidup dalam dunia gelap meyakini cahaya akan menghidupkan seseorang manakala Maria pula seorang teman sosial yang hidup dalam dunia yang warna-warni tetapi dirinya penuh dengan jiwa kegelapan.

"Bila mendapat tawaran menjayakan filem ini, saya terkejut kerana buat pertama kali saya mendapat watak sisi gelap. Tapi bila Johan menerangkan cara dia ingin menyampaikan mesej kepada penonton, saya faham lalu menerimanya. Saya percayakan Johan, begitu juga dengannya yang turut mempercayai saya.
"Lagipun, filem ini tidak memerlukan banyak solekan, saya rasa seronok pula. Kalau tidak, setiap kali berlakon, wajah saya pasti akan disolek tebal. Tapi ada juga babak ketika melayan pelanggan yang memerlukan saya bersolek.
"Saya tahu, filem ini pasti akan melalui pelbagai tapisan. Tapi saya harap Cahaya dapat dikeluarkan untuk tontonan semua kerana filem ini sebenarnya tidak nampak 'kotor', sebaliknya bersih di akhir cerita. Kalau anda melihat lakonan Khir pula, dia sangat natural dan boleh dijadikan pelakon terbaik," ujar Elaine yang baru saja menamatkan telefilem Jalan Terakhir Mama bagi stesen RTM dan bakal memulakan penggambaran sebuah drama bersiri berbentuk epik.
Share this article :
Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger