Jumaat, 9 Oktober 2009
Jangan fitnah saya. Saya ni bukanlah sejahil dan sesesat itu. Norlia Ghani,
KUALA LUMPUR: “Jangan fitnah saya. Saya ni bukanlah sejahil dan sesesat itu.” Demikianlah reaksi tegas pelakon veteran, Norlia Ghani, 61, sambil beristighfar dan menafikan dia artis veteran yang dikaitkan sebagai pengikut ajaran sesat Haji Kahar.
Dia yang dihubungi semalam terkejut apabila diminta mengulas laporan muka depan Harian Metro mengenai tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sedang memburu seorang pelakon wanita veteran yang dipercayai bersekongkol dengan ajaran sesat dibawa Abdul Kahar Ahmad yang mengaku dirinya ‘Rasul Melayu’.
Norlia yang lebih mesra dengan panggilan Mama, berulang kali menafikan pernah menganggotai kumpulan ajaran sesat berkenaan, tapi mengakui mengenali Abdul Kahar.
Menurutnya, dia mengenali Abdul Kahar puluhan tahun lalu ketika sama-sama menjalani penggambaran sebuah drama, namun tidak pernah menghubungi lelaki terbabit sejak penggambaran selesai. “Saya pun tak ingat bila kami menjalani penggambaran terbabit, namun ketika itu Haji Kahar hanya berlakon sebagai pelakon tambahan.
“Selepas itu, saya tak pernah berjumpa dengannya lagi hinggalah berita dia ditahan terpampang di akhbar,” katanya yang menolak khabar angin mengaitkannya dengan ajaran sesat itu.
Menurutnya, dia berlakon hanya kerana mahu mencari rezeki halal untuk menampung kehidupan serta pegangan agamanya tetap utuh dan tidak pernah menjadi pengikut kumpulan ajaran sesat Haji Kahar.
“Saya sedih dituduh sebegini kerana walaupun saya artis, itu tidak bermakna saya tidak mempunyai pegangan agama langsung.
“Apabila masuk soal agama, ia tidak boleh dipandang remeh begitu saja dan ia membuatkan saya berasa amat terkilan,” katanya yang pernah mengerjakan umrah sebelum ini.
Malah, Norlia berharap orang ramai tidak cuba mengeruhkan lagi keadaan, lebih-lebih lagi dia kini bersedih berikutan kematian anak lelakinya, Edi Rizal Ramli, 32, baru-baru ini.
“Tolonglah jangan menambahkan lagi keadaan saya yang memang sugul dan sedih kerana kehilangan anak lelaki yang juga menjadi tragedi besar buat keluarga.
“Kini, dengan tohmahan kononnya saya pengikut Haji Kahar menambahkan lagi rasa sedih saya,” katanya.
Norlia berharap penjelasan ini dapat menjernihkan keadaan dan pihak lain tidak memandang serong terhadapnya.
Harian Metro semalam melaporkan seorang artis veteran wanita diintip dan menjadi sasaran pihak berkuasa selepas dia bersama adiknya dipercayai menjadi ‘tali barut’ menyebarkan doktrin dan ajaran sesat Haji Kahar, sejak beberapa tahun lalu.
Malah, artis itu menggunakan popularitinya sebagai pelakon veteran bagi mempopularkan ajaran sesat, terutama di kalangan saudara-mara terdekat serta rakan artis yang rapat dengannya.
Bukan itu saja, artis veteran terbabit memperoleh ‘ilmu’ berkenaan daripada saudara lelakinya yang juga seorang daripada lebih 50 pengikut tegar ajaran sesat Haji Kahar yang sedang diburu Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) untuk dipulihkan akidah.
Perkara itu didedahkan Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Strategik, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Shahrom Maarop, selepas mendapat maklumat terkini daripada jiran kepada adik artis terbabit.
Sebelum ini, Harian Metro turut menyiarkan pengakuan seorang penyanyi lelaki irama reggae 80-an yang mendakwa menjadi pengikut ajaran sesat itu kerana yakin dengan ajaran Haji Kahar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.