Home »
» Manusia paling gemuk didunia:Dengan berat 444.5 kilogram
Manusia paling gemuk didunia:Dengan berat 444.5 kilogram
Written By canang on Ahad, 25 Oktober 2009 | 10/25/2009 06:17:00 PTG
WARGA Britain, Paul Mason yang menetap di Ipswich dinobat sebagai lelaki paling gemuk dunia baru-baru ini. Dengan berat 444.5 kilogram, Mason boleh berbangga namanya kini tercatat dalam buku rekod.
Namun, agak memeranjatkan kerana beberapa pihak mendakwa gelaran itu sudah lama diidamkan Mason. Cita-citanya itu terdedah tiga tahun lalu selepas beratnya turun 127 kilogram selepas menjalani rawatan di sebuah hospital tiga tahun lalu.
Mason, kini berusia 48 tahun memeranjatkan kakitangan hospital apabila menyuarakan rasa sedih kerana beratnya turun kerana beliau ingin sebaliknya berlaku.
“Ketika dibenar pulang, beliau menyatakan sedih kerana tidak lagi berpeluang untuk menjadi lelaki paling gemuk dunia.
“Sebaik tiba ke rumah, Mason memesan pizza, kari dan juga makanan China. Beliau juga kerap dilihat di McDonald memesan makanan dengan menggunakan kerusi roda khasnya.
“Tiada siapa mampu menghentikan Mason daripada makan dan ia amat menyedihkan,” kata sumber hospital.
Dalam usaha memenuhi impiannya itu, Mason makan sekotak Sugar Puffs pada satu masa dan setiap Jumaat beliau akan ke kedai makan pada tengah hari dan petang.
Pengurus Bar Nacton Road Fish di Ipswich, Suffolk, Bob Singh Phagura, berkata Mason akan menunggu di kerusi rodanya di luar kedai sementara menanti pelayannya selesai memesan makanan.
“Beliau tidak boleh masuk kerana saiz badannya terlalu besar. Mason akan membeli 10 kali ganda makanan yang dimakan setiap pelanggan. Beliau akan membeli empat ikan kod, dua pai, empat sosej dan enam cip besar bersama dengan sos kari dan kacang dan menelan semuanya dengan dua botol besar air Coca Cola,” katanya.
Hakikatnya, Mason akan makan 20,000 kalori makanan sehari, lapan kali ganda daripada purata 2,500 kalori makanan yang dimakan lelaki biasa.
Beliau makan tiga hidang keluarga setiap malam dan seekor ayam panggang umpama pencuci mulut baginya.
Akibatnya Mason yang menggantikan warga Mexico, Manuel Uribe, 43, sebagai lelaki terberat dunia menghabiskan lapan tahun terakhir hayatnya di atas katil di rumahnya di Ipswich, Suffolk.
Uribe melepaskan gelarannya itu selepas menurunkan separuh berat badannya, 571.5 kilogram untuk berkahwin tahun lalu. Pada 2004, rekod dunia dipegang warga Amerika Syarikat, Patrick Deuel yang memiliki berat badan 489 kilogram dan warga Britain paling bersat sebelum ini adalah pemandu teksi Barry Austin dari Birmingham yang memiliki berat 413 kilogram.
Yang pasti, ramai pihak kini ingin melihat Mason menurunkan berat badannya, selain mengurangkan perbelanjaan rawatan menggunakan wang rakyat.
Laporan menunjukkan pihak berkuasa membelanjakan £1juta (RM5.58 juta) untuk merawatnya sejak beberapa tahun lalu.
Kegilaan Mason yang memiliki ketinggian 1.65 meter itu dan kini tidak lagi mampu bergerak turut menyebabkan rumah ibunya dirampas bank selepas beliau tidak berupaya membayar pinjaman kerana wangnya habis dibelanjakan untuk anak lelakinya.
Adik perempuannya, Louise, 43, mendakwa kegagalan Mason mengawal tabiat makannya memusnahkan keluarga mereka dan menyebabkan beliau dan adiknya hilang segala-galanya, terutama selepas ibu mereka, Janet, meninggal dunia enam minggu lalu.
“Bapa, Roy, menyelesaikan pinjaman bank £100,000 (RM558,140) untuk rumah kami sebelum beliau meninggal dunia pada 1986. Namun, ibu terpaksa kembali meminjam bank dengan memajak rumah kami demi membiaya tabiat makan abang. Kini kami hilang semuanya selepas rumah kami dirampas bank kerana ibu gagal melunaskan pinjaman.
“Tiada apa yang boleh diwasiatkan ibu kepada saya dan Judith. Saya masih sayangkan abang tapi saya sedih dengan perangainya itu,” katanya.
Mason kini tinggal di rumah banglo dibina khas untuk golongan obes dan terbaring sepanjang masa di atas katil. Rumah itu memiliki pintu seluas 1.5 meter dan Mason yang pernah bekerja sebagai penghantar surat dan mekanik menerima bantuan £67.50 (RM377) seminggu dan wang sewa rumah.
Beliau dijaga tujuh kakitangan Jabatan Kesihatan yang bekerja dalam tiga syif sehari untuk memasak dan membersihkannya. Pelayan itu menelan belanja £100,000 (RM558,140) setahun dan akan membantunya dalam apa jua perkara yang diperlukannya.
Mason kini bakal menjalani pembedahan mengecilkan perut bagi menghentikan tabiatnya dan membantunya untuk terus hidup. Pembedahan itu dilapor menelan belanja £20,000 (RM111,623).
Bagaimanapun, Louise sangsi Mason akan berubah.
“Saya sedar sepatutnya saya memberi lebih sokongan kepadanya. Namun sebagai manusia biasa, saya tidak dapat berbuat apa-apa jika beliau tidak membantu dirinya sendiri. Hakikatnya, beliau tidak mahu bantuan kami,” katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan