Isnin, 26 Oktober 2009

Mayat kanak-kanak tampa kepala .


JOHOR BAHRU: Hati seorang ibu tunggal bertambah remuk apabila mendapati mayat anak lelakinya berusia lima tahun yang hilang dihanyutkan arus di Sungai Tiram di sini sejak Jumaat lalu, ditemui semula tanpa berkepala, kira-kira 20 kilometer dari tempat kejadian, semalam.
Apa yang meyakinkan Fadzilah Abdul Malik, 38, bahawa jasad yang kaku terbaring di atas meja pembersihan di Bilik Mayat Hospital Sultan Ismail (HSI) itu adalah anaknya Arfan Danni Asri ialah baju-T berwarna biru cair yang dipakainya.

Anak ketiga daripada lima beradik itu dikatakan terjatuh dalam longkang besar berhampiran kediamannya sebelum dihanyutkan arus deras tiga hari lalu, dijumpai kira-kira jam 1.45 tengah hari semalam, di kuala Sungai Tiram, tanpa kepala dipercayai dimakan binatang liar.
Menceritakan detik memilukan itu, Fadziah berkata, ia berlaku pada jam kira-kira 3 petang Jumaat lalu apabila Arfan Danni yang keluar bermain di taman permainan kanak-kanak berdekatan rumahnya Jalan Lading 40, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram itu, hilang dipercayai tergelincir ke dalam longkang berukuran kira-kira 0.5 meter.“Saya membenarkan Arfan Danni bermain bersama abangnya, Amir Danis (6) dan adik perempuannya, Arfina Farisah (4), kerana ketika itu awan masih cerah.
Tidak lama kemudian, hujan lebat dan saya meminta anak sulung, Aiman Daniel (8) untuk memanggil adik-adiknya untuk memasuki rumah. Tiba-tiba, Amir berlari sambil menjerit Danni hanyut.

“Saya berlari untuk melihat Danni tetapi tidak lagi ternampak kelibatnya sehingga menyebabkan saya mula panik,” katanya sambil memberitahu tidak menyedari sebarang perubahan tingkah laku yang berlaku ke atas anaknya itu.
Katanya, beberapa jirannya membantu menghubungi Polis sebelum usaha mencari dijalankan di sekitar longkang dan Sungai Tiram.
Menurutnya, sepanjang usaha mencari Danni dilakukan adalah detik yang paling mencemaskan dan sukar ditempuhi ahli keluarganya kerana ketika itu mereka diselubungi dengan pelbagai perasaan di samping tidak putus menaruh harapan Danni selamat.
“Kira-kira jam 2 petang (semalam) keluarga kami menerima panggilan daripada polis menyatakan jenazah Danni sudah ditemui di kuala Sungai Tiram di sini.

“Tidak dijangka baju kegemaran yang dipakainya selalu akhirnya membantu kami mengenal pasti jenazahnya yang pada mulanya sukar dikenali. Kami redha dengan dengan pemergiannya dan berterima kasih pada pihak berkuasa yang bertungkus-lumus mencarinya,” katanya.
Sementara itu, nenek mangsa, Rahmah Nyop, 60, berkata dia tidak menjangka mimpinya beberapa minggu lalu seolah-olah memijak lumpur di kediaman anak perempuan bongsunya itu membawa petanda buruk.
“Kami masih terkilan dengan kejadian menimpa cucu kesayangan itu,” katanya ketika ditemui di kediaman mangsa di sini, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob yang mengesahkan kejadian itu, berkata gerakan mencari mayat dijalankan oleh polis, bomba dan penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) dan Unit Komando.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.