Sabtu, 10 Oktober 2009

N 31 BAGAN PINANG SEMAKIN TEGANG:Pemandu Ketua Polis Negeri Sembilan cedera dipukul

PORT DICKSON: Pemandu kepada Ketua Polis Negeri Sembilan, L/Kpl Faizal Mohd Zin, cedera di kepala akibat dipukul beberapa lelaki ketika cuba meleraikan pergaduhan antara penyokong Barisan Nasional (BN) dan Pas berhampiran Sekolah Kebangsaan Si Rusa, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang tadi yang dipercayai berpunca daripada provokasi di antara penyokong kedua-dua parti itu, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Osman Salleh, turut ditolak tetapi beliau tidak cedera.
Osman berkata, beliau bersama pemandunya dalam perjalanan pulang ke Markas Polis di pusat bandar selepas melawat pusat pengundian bersama pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Sua Betong.
Beliau berkata, mereka berhenti di tempat kejadian selepas melihat berlaku kekecohan dan pergaduhan antara kedua-dua kumpulan penyokong itu.

"Ketika cuba meleraikan pergaduhan itu dan dalam keadaan yang kelam kabut, Faizal dipukul hingga berdarah di kepala. Dia sudah dihantar ke Hospital Port Dickson (HPD) untuk rawatan.
"Saya percaya keadaannya stabil kerana kecederaannya tidak serius," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Osman berkata, beliau tidak dapat mengenal pasti siapa yang memukul pemandunya tetapi yakin suspek tidak berniat berbuat demikian kerana situasi ketika itu kelam kabut dengan insiden tolak menolak.
"Kami akan melihat pita rakaman kejadian bagi mengenal pasti siapa yang melakukannya (memukul mangsa). Mangsa juga akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu," katanya.

Sementara itu, Osman berharap penyokong kedua-dua parti yang bertanding supaya lebih bersabar dan mengelakkan ketegangan dengan tidak menimbulkan provokasi di antara satu sama lain hingga boleh mencetuskan kejadian tidak diingini.
"Saya dapati orang luar yang bertindak berlebihan seperti dalam kejadian tadi berbanding orang tempatan yang membantu meleraikan pergaduhan itu," katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.