KUALA LUMPUR: Tindakan pantas seorang suri rumah menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada kakaknya bagi memastikan anak perempuannya selamat di sekolah, mengelakkannya daripada ditipu lelaki yang mendakwa menculik anaknya dan meminta wang tebusan.
Wanita berusia 37 tahun itu berkata beliau menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang tidak dikenali pada 10.30 pagi semalam yang mendakwa anak bongsunya berusia 10 tahun itu diculik ketika di sekolah di Seri Kembangan dekat sini dan meminta wang tebusan sebanyak RM30,000.
"Saya bagi tahu lelaki itu yang saya hanya ada RM3,000 dan lelaki itu memberitahu wang itu tidak mencukupi kerana mereka ada empat orang, lalu mengarahkan saya supaya mendapatkan wang selebihnya segera kerana nasib anak saya berada dalam tangan mereka."Pada masa sama saya terdengar suara kanak-kanak perempuan menangis. Ketika dibenar bercakap dengan kanak-kanak itu, dia (kanak-kanak itu) kata dia berasa amat takut kerana kedua-dua belah tangannya diikat," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Beliau berkata, ketika becakap dengan lelaki itu yang tidak membenarkannya menghentikan perbualan telefon kerana khuatir wanita itu menghubungi polis, beliau menggunakan satu lagi telefon bimbitnya untuk menghantar SMS meminta kakaknya memeriksa keselamatan anak perempuannya di sekolah.
Wanita itu berkata kakaknya kemudian memaklumkan bahawa anaknya berada dalam keadaan selamat di sekolah.
Beliau dan suaminya berumur 40 tahun kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Seri Kembangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Kembangan, Ean Yong Hiah Wah, pada sidang akhbar sama berkata sehingga kini terdapat 10 kes seumpama itu dilapor di sekitar Puchong dan Seri Kembangan sejak bulan lalu.
"Saya rasa ini adalah trend terbaru sindiket yang merancang penculikan palsu dengan memperdaya keluarga 'mangsa' bagi mendapatkan wang tebusan," katanya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, ACP Zainal Rashid Abu Bakar, ketika dihubungi Bernama di sini mengesahkan menerima laporan itu daripada ibu bapa kanak-kanak berkenaan petang semalam.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak panik dan jangan mudah terpedaya dengan panggilan seumpama itu sebaliknya berhubung dengan pihak polis.
Home »
» SMS elak suri rumah daripada ditipu penculik palsu
SMS elak suri rumah daripada ditipu penculik palsu
Written By canang on Jumaat, 23 Oktober 2009 | 10/23/2009 10:16:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan