Home » » Bahana tangkal jed/Nizar News

Bahana tangkal jed/Nizar News

Written By canang on Rabu, 4 November 2009 | 11/04/2009 10:04:00 PG

“Dia masih bingung dan tak berhenti menyebut Shafiq... Shafiq, nama lelaki itu,” kata Roni Mat Zin, 45, bapa kepada gadis yang menjadi mangsa kasanova junior berusia 19 tahun sebelum dibawa lari dan dikikis wang sejak dua minggu lalu.

Asmira, 19, yang dipercayai menghilangkan diri bersama pemuda terbabit kembali ke pangkuan keluarganya semalam, selepas ditangkap penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) kerana berpeleseran di sebuah pondok di pusat bandar raya bersejarah itu tanpa arah tujuan.

Difahamkan, Asmira yang juga penuntut sebuah kolej di Kuantan ditangkap bersama lelaki kasanova terbabit, malah mereka menjadikan pondok riadah itu sebagai tempat berteduh sebelum ditahan.

Roni berkata, dia bersyukur Asmira ditemui semula dalam keadaan selamat, namun bimbang kerana anak sulungnya itu bercelaru tanpa arah, seolah-olah dipukau remaja durjana terbabit yang hanya mahu mengambil kesempatan mengikis duit.
“Buat masa ini saya tak berhasrat mendedahkan anak saya kepada umum, sebaliknya mahu membawa dia berubat bagi memulihkan diri kerana dikhuatiri terpengaruh dengan ilmu sihir lelaki itu.
“Malah, ketika Asmira dibawa pulang, dia tidak putus-putus menyebut nama lelaki itu dan di lehernya tergantung rantai bertali hitam berserta jed hijau pemberian Shafiq dipercayai disihirkan supaya patuh kepada arahannya.

“Lebih membimbangkan lelaki terbabit dibebaskan jabatan agama dan telefon bimbit Asmira masih ada padanya. Malah, dia masih berani menggunakan talian itu untuk menghantar SMS kepada rakan anak saya bagi meminta wang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan pendedahan Roni mengenai kegiatan kasanova junior berusia 19 tahun yang menggunakan kata-kata memikat dan ayat meraih simpati sebagai helah untuk mengikis wang beberapa gadis berbadan montel sebelum ditinggalkan di kawasan terpencil selepas kehabisan duit.

Pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) itu berkata, hasil siasatannya mendapati lelaki terbabit menggunakan laman sosial Myspace untuk mencari mangsa berbadan gempal dan dipujuk bertemu sebelum memperdaya mangsa untuk kikis duit.

Bapa anak dua itu turut menjelaskan menerima panggilan terbaru daripada seorang ibu dari Pulau Pinang, semalam, yang mengadu kes sama berlaku ke atas anak perempuannya yang menuntut di sebuah universiti swasta di Melaka.

“Kes mereka sama, malah menurut wanita terbabit anaknya ditawan kasanova yang sama dan dibawa lari sebelum anaknya dijumpai dalam keadaan bingung serta masih mengingati lelaki berkenaan.

“Selepas dipulihkan barulah anaknya elok dan mampu melupai lelaki itu, namun mengambil masa agak lama. Semua cerita terbongkar apabila anaknya membuka mulut, tapi lelaki berkenaan masih lagi bebas mencari mangsa lain,” katanya.

Roni berkata, dia akan terus berusaha mengumpul maklumat mengenai lelaki terbabit dan memujuk anaknya membuat laporan polis bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap lelaki yang dipercayai berasal dari Johor Bahru itu.

Bagaimanapun, katanya, sukar untuk menentukan bila perkara itu akan berlaku, berikutan ketika ini anaknya tidak boleh diganggu atau diajukan pertanyaan mengenai kisah berkenaan kerana bimbang dia akan bertindak agresif.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger