Home »
» Dr Asri,Tangkap dulu, baru cari pertuduhan" /Nizar News
Dr Asri,Tangkap dulu, baru cari pertuduhan" /Nizar News
Written By canang on Rabu, 4 November 2009 | 11/04/2009 12:16:00 PG
KUALA LUMPUR – “Saya sendiri tidak tahu atas kesalahan apa saya ditahan. Dalam hal ini, saya ditangkap dulu baru dicari pertuduhan. Selain itu, saya juga tertanya-tanya siapakah `tangan ghaib` yang mengeluarkan arahan. Sehingga kini saya masih belum diambil keterangan," kata bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Katanya, jika benarlah dakwaan beliau ditahan kerana memberi ceramah tanpa tauliah oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), mengapa keterangannya tidak diambil sebelum kejadian malam kelmarin.
“Kalau nak kata kes saya tak ada tauliah (untuk memberi ceramah), terlalu ramai, sampai 30 orang (datang membuat tangkapan). Sampai sekarang belum tahu kes apa, tunggulah dia orang charge (dakwa) dulu,” katanya.
Beliau hadir lebih kurang jam 9 pagi di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, semalam seperti yang diarahkan Jais untuk dirakamkan keterangan sebaik tangkapan terhadapnya dilakukan di sebuah rumah milik ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang, kelmarin.
Bagaimanapun, setelah hampir satu jam 45 minit menunggu di mahkamah tersebut dan Jais masih tidak hadir, Asri menyifatkan apa yang berlaku terhadapnya adalah suatu bentuk `sabotaj`.
Menurutnya, individu yang bertanggungjawab untuk menjalankan dakwaan terhadapnya juga gagal dihubungi walaupun telah cuba mendapatkannya berulang kali.
“Dia tidak dapat dihubungi, hilang entah ke mana. Dia biarkan saya tunggu di sini. Saya ‘public figure’, saya ada urusan yang lain, dan ramai NGO (badan bukan Kerajaan) serta orang lain (yang turut hadir) ada kerja masing-masing.
"Saya ingat jika lewat sangat dan pihak mereka masih tidak datang, saya nak buat laporan polis untuk beritahu yang saya dah datang tapi mereka tak datang,” katanya.
Ketika ditanya berhubung atas kesalahan apa beliau ditahan, Asri berkata, beliau sendiri tidak tahu.
Namun, katanya, beliau difahamkan ditahan atas kesalahan memberi ceramah agama tanpa tauliah sekali gus menafikan dakwaan yang dilaporkan media bahawa dirinya mengamalkan fahaman Wahabi.
“Itu adalah rekaaan semata-mata,” katanya ringkas.
Ketika ditanya adakah beliau pernah memohon tauliah daripada Jais untuk mengajar di Selangor, dalam nada menyindir Dr Asri berkata: “Saya ingin beritahu, ketika saya menjadi Mufti Perlis, mereka (Jais) mengatakan semua mufti boleh mengajar di Selangor kecuali Mufti Perlis.
"Bayangkanlah kalau mereka tanya saya mengapa tak mohon tauliah (kini, selepas menjadi bekas mufti)... ketika saya ada jawatan mufti pun mereka mengecualikan saya daripada memiliki ruang bercakap dalam Selangor.”
Beliau kemudian dilepaskan dengan bon jaminan tanpa cagaran yang ditawarkan pegawai penguat kuasa Jais.
Sementara itu, peguam Zulkifli Che Yong yang mewakili Mohd Asri ketika ditemui berkata, berkata pertuduhan belum dilakukan dan pihak Jais masih menyiasat lagi perkara ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan