Home »
» Jais:Akhil HayyTak layak ajar agama.....
Jais:Akhil HayyTak layak ajar agama.....
Written By canang on Jumaat, 4 Disember 2009 | 12/04/2009 10:05:00 PG
Penceramah muda yang juga bekas penyanyi rock, Akhil Hayy tidak layak berceramah dan mentarbiah orang lain berdasarkan latar belakang agama yang cetek selain hanya mengharapkan populariti sebagai artis semata-mata.
Bukan itu saja, penceramah yang pernah menjadi pengacara sebuah rancangan ilmiah di televisyen itu juga tidak pernah diberikan sebarang kelulusan berceramah dan pernah ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Kenyataan itu dikeluarkan Pengarah Jais, Datuk Mohamed Khusrin Munawi yang mengakui berdasarkan maklumat, bekas penyanyi kumpulan rock terbabit tidak mempunyai latar belakang agama bagi melayakkannya memberikan ceramah agama.
Tanpa berselindung, beliau berkata, penceramah muda terbabit juga pernah ditahan kerana tidak memiliki kebenaran bagi menyampaikan ceramah tetapi tidak didakwa dan dibebaskan.“Apa yang kami ketahui, dia (Akhil) pandai bercakap seperti penceramah lain tetapi tidak memiliki latar belakang agama yang sepatutnya dimiliki seorang penceramah agama.“Bagaimanapun, kami tidak menafikan pengaruh artis membolehkan orang ramai tertarik dan gemar hadir bagi mendengar ceramahnya yang sebelum ini tidak ketinggalan melampiaskan kata-kata sindiran terhadap orang lain,” katanya, semalam.
Malah, katanya, selepas ditahan Jais kerana berceramah tanpa kebenaran, Jais tidak pernah menerima sebarang permohonan daripada penyanyi rock terbabit.
Menurutnya, sepanjang pengetahuan, Akhil tidak memilik latar belakang agama walaupun pernah memberikan ceramah agama selepas meninggalkan dunia artis.
“Apa yang kami bimbang, penceramah yang tidak memiliki pengetahuan agama sepatutnya tetapi berlagak bijak berceramah yang boleh menjurus kepada mengelirukan masyarakat yang menjadi pendengar.
“Kami tidak mahu penceramah yang hanya pandai cakap tetapi tidak ada pengetahuan agama dan apa yang paling membimbangkan mereka menggunakan logik akal dalam ceramah mereka,” katanya.
Tanpa berselindung, Mohamed Khusrin, berkata Selangor bukan tempat bagi penceramah terbabit, lebih-lebih lagi selepas masalah rumah tangga dengan bekas isterinya menjadi isu sebelum ini.
Menurutnya, kelemahan menangani isu peribadi itu juga boleh dilihat sebagai kelemahan yang tidak sepatutnya ada bagi seorang yang mahu bergelar penceramah yang sepatutnya menjaga tata susila mereka yang memiliki ilmu agama yang syumul.
“Bagi saya, kita sudah mengetahui latar belakang agama Akhil dan sudah pasti kita tidak akan membenarkan penceramah muda (Akhil) ini mengadakan ceramah di negeri ini.
“Bukan itu saja, Akhil juga tidak pernah memohon sebarang kebenaran untuk berceramah bagi membolehkan siasatan lebih terperinci terhadap pengetahuan dan ilmu agama yang dimiliki,” katanya.
Mengulas lanjut isu itu, Mohamed Khusrin berkata, tidak ada guna memberikan kebenaran kepada penceramah termasuk Akhil yang hanya pandai bercakap jika ia lebih kepada untuk mengaibkan orang lain.
Menurutnya, seorang penceramah perlu mempunyai sifat terpuji dan tidak mengaibkan orang lain dalam ceramah dan bagi Akhil yang perlu juga melihat peranannya yang menyindir masyarakat artis yang pernah disertai satu ketika dulu.
“Alasan itu (tidak mengaibkan orang lain) adalah antara peraturan yang perlu dipatuhi jika ingin memperoleh kebenaran berceramah di negeri ini.
“Kami tidak mahu sebahagian besar daripada ceramah yang diberikan lebih kepada mengutuk dan mengaibkan orang lain sehingga mengabaikan ilmu yang sepatutnya diperoleh mereka yang menjadi pendengar,” katanya.
Tanpa menidakkan hak untuk Akhil dan penceramah lain berceramah, Mohamed Khusrin, berkata setiap penceramah perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk memiliki bukti kemampuan dan kemahiran ilmu agama yang dimiliki.
Menurutnya, Jais akan memastikan ada bukti seperti sijil atau kelulusan dalam bidang agama dimiliki mereka yang berhasrat berceramah di negeri itu bagi mengelak timbul masalah yang tidak dijangkakan termasuk membawa unsur yang bertentangan amalan umat Islam di negara ini.
“Kami juga mempunyai cara tersendiri bagi mengenal pasti sama ada seseorang pemohon itu memiliki ilmu agama yang sepatutnya bagi melayakkan mereka menyampaikan ceramah agama.
“Begitu juga pendekatan tertentu dilakukan bagi mengesan sama ada mereka (pemohon) menjadi pengamal sesuatu pegangan yang tidak dibenarkan di negara ini,” katanya.
Menurutnya, saringan teliti itu bagi memastikan tidak ada penceramah ‘mata duitan’ yang mahu menjadikan kawasan di negeri itu sebagai ‘lubuk’ bagi mengaut keuntungan mudah mereka.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan