Home » » Pemain negara 'mengamuk'

Pemain negara 'mengamuk'

Written By canang on Isnin, 7 Disember 2009 | 12/07/2009 01:54:00 PTG


VIENTIANE, Laos - Skuad bola sepak negara tiba-tiba 'mengamuk' di tengah padang.

Puncanya hanya satu - mempertikai cara pengadilan pengadil perlawanan dari Korea Selatan, Kim Jong Hyeok.

Insiden 'panas' itu berlaku di Stadium Utama, Kompleks Sukan Nasional petang semalam yang menyaksikan skuad negara tewas 1-3 kepada Vietnam pada aksi Kumpulan A temasya Sukan SEA XXV.

Biarpun perlawanan itu tidak memihak kepada skuad negara tetapi anak-anak buah K. Rajagobal itu pastinya lebih mendapat tumpuan gara-gara kekecohan yang dicetuskan mereka di tengah padang.


Insiden tersebut bermula selepas Jong Hyeok melayangkan kad merah kepada Aidil Zaquan Adha Abd. Radzak pada masa kecederaan babak kedua.

Sebelum itu, Zaquan yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-59 telah menerima kad kuning pertama lima minit sebelum perlawanan berakhir.

Penyerang kelahiran Negeri Sembilan itu kemudiannya mengutip kad kuning kedua dan secara automatik dilayangkan kad merah pada masa kecederaan kerana didakwa melakukan terjahan keras terhadap pemain Vietnam, Tran Dinh Dong.

Sejurus selepas wisel penamat dibunyikan, Zaquan dan semua pemain negara termasuk pemain simpanan menyerbu ke arah Jong Hyeok sebagai membantah keputusan yang dibuat oleh pengadil terbabit.

Bermula Dari situ, berlaku beberapa insiden tolak menolak antara pemain negara dengan Jong Hyeok serta pembantu pengadil, Zleng Weixiang dari China dan Shahidul Islam dari Bangladesh.Melihatkan keadaan semakin tegang dan tidak terkawal, pegawai keselamatan terpaksa berkejar ke tengah padang bagi mententeramkan keadaan.

Bagaimanapun, insiden yang berlaku hampir lima minit itu dapat dikawal dengan baik apabila Rajabobal dan beberapa pegawai skuad bola sepak negara termasuk penolong pengurus, Datuk Subahan Kamal dan jurulatih kecergasan, Rosov Bozik campur tangan.

Mengulas mengenai insiden memalukan itu, Rajagobal berkata, ia adalah satu tindakan yang tidak wajar dilakukan oleh anak-anak buahnya.

"Saya amat kecewa dengan apa yang telah berlaku. Sebelum perlawanan bermula, saya telah ingatkan pemain agar menampilkan mutu permainan terbaik.

Bagaimanapun, saya agak terkejut kerana perlawanan ini berakhir dengan insiden kekecohan yang melibatkan pemain saya dengan pengadil.

"Tetapi saya faham mengapa pemain bertindak sedemikian. Mereka terlalu kecewa dengan beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil sehingga menyebabkan mereka hilang pertimbangan.

"Sebagai pemain muda, mereka harus menjaga emosi dan tingkahlaku jika tidak, inilah yang berlaku," kata Rajagobal pada sidang media selepas tamat perlawanan semalam.

Rajagobal menambah, beberapa keputusan pengadil yang dianggap tidak tepat menjadi punca anak-anak buahnya bertindak ganas sehingga sanggup menyerang pengadil perlawanan.

"Pemain saya cukup bersemangat untuk menghadapi perlawanan menentang Vietnam selepas kami berjaya mencatatkan kemenangan besar ketika membelasah Timor Leste 11-0 Rabu lalu, tetapi pengadil telah merosakkan semuanya," jelas Rajagobal.

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger