Home » » Perlakuan lucah warga asing ganggu penghuni

Perlakuan lucah warga asing ganggu penghuni

Written By canang on Rabu, 30 Disember 2009 | 12/30/2009 08:51:00 PG

Tidak sampai sebulan menginap di rumah sewa Pangsapuri Putra Harmoni, Presint 9 di sini, menimbulkan rasa ngeri seorang gadis apabila berdepan insiden diganggu warga asing yang menayangkan kemaluan pada siang hari, kelmarin.

Gadis berusia 22 tahun yang mahu dikenali Siti mendakwa, kejadian itu berlaku ketika dia menuruni tangga untuk membeli makanan berhampiran rumah, kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Mangsa berjalan semula menggunakan tangga untuk pulang ke rumah di tingkat enam pangsapuri itu selepas hampir 20 minit ke kedai berhampiran sebelum mendapati seorang lelaki seolah-olah bersembunyi di bawah tangga dengan gelagat mencurigakan.

Walaupun ada beberapa penghuni lain yang berjalan berhampiran tangga itu, tetapi lelaki terbabit tidak menunjukkan kelakuan lucahnya sebelum mangsa yang tidak memikirkan kejadian buruk turut menggunakan laluan sama.

Bagaimanapun, mangsa yang hanya 10 meter dari lelaki terbabit terkejut apabila lelaki dipercayai warga Bangladesh terbabit membuka zip seluar dan menunjukkan kemaluan sambil tersengih kepada mangsa.

Siti berkata, dia berlari naik ke rumah sewa dan menyembunyikan diri di rumah kerana bimbang kejadian yang tidak diingini kerana yakin lelaki terbabit tinggal di kawasan berkenaan.

Menurutnya, dia hairan lelaki terbabit boleh melakukan perbuatan tidak bermoral itu pada siang hari di kawasan yang agak terbuka dan menjadi laluan penghuni untuk ke kedai berhampiran.

“Saya tidak menyangka lelaki yang berpakaian kemas itu mempunyai perwatakan menjijikkan dan boleh menimbulkan rasa takut di kalangan penghuni wanita di kawasan berkenaan.

“Bukan itu saja, pangsapuri ini menjadi tumpuan warga asing kerana kadar sewa yang agak murah selain mampu tinggal berkumpulan di sesebuah rumah,” katanya ketika ditemui, semalam.

Siti yang menjalani latihan amali di sebuah jabatan kerajaan di sini, berkata, kejadian itu yang pertama kali berlaku sepanjang hampir sebulan menginap di kawasan berkenaan.

Menurutnya, dia bimbang kerana lelaki terbabit mungkin sudah memantau pergerakan hariannya sebelum melakukan perbuatan tidak senonoh itu apabila ada peluang untuk melakukannya.

“Saya bimbang kerana terlalu ramai warga asing menginap di kawasan ini.

“Lelaki terbabit kini sudah menyembunyikan diri walaupun sekali-sekala kelibatnya kelihatan sehingga menimbulkan rasa takut yang bukan kepalang,” katanya yang mengakui boleh mengecam lelaki terbabit.

Siti berkata, dia yakin kejadian sama pernah dialami penghuni lain, tetapi mereka enggan membuat laporan polis kerana malu atau bimbang menjadi sasaran lebih buruk dilakukan lelaki terbabit.

Bukan untuk menidakkan hak warga asing, Siti meminta pihak berkuasa berkaitan memantau pergerakan warga asing di kawasan berkenaan bagi mengelak kejadian buruk terhadap penghuni di kawasan itu pada masa depan.



Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger