Home » » Tamparan cinta pemain bola

Tamparan cinta pemain bola

Written By canang on Ahad, 17 Januari 2010 | 1/17/2010 10:01:00 PTG


DIA bukan mahu mengikut jejak bekas anggota Spice Girls, Victoria atau Posh Spice yang kemudian dikenali sebagai Victoria Beckham selepas mengahwini selebriti bola sepak, David Beckham.
Dia hanya ingin bercinta semula. Namun, percintaannya kali ini dihangatkan oleh duri-duri sembilu yang jika tidak bertahan, pasti tertusuk jauh ke dalam daging.
Dia, Raudhah Che Wan atau nama komersialnya, Ayu Raudhah, pada usia 25 tahun ini mencuba bercinta buat kali kedua.
Bagaimanapun, disebabkan cintanya kali ini tertumpah kepada pemain bola sepak negara, Zaquan Adha Abdul Razak, 23, yang digilai banyak wanita tak terkecuali lelaki, Ayu jadi penasaran.


Dia tidak keruan dengan sensasi yang dicipta pihak luar terhadap hubungan yang baru berputik.
Beberapa minggu lalu, kecoh apabila ada yang mendakwa Zaquan hanya menjadikan Ayu sebagai penutup sisi hitam dirinya yang 'berselera' terhadap lelaki.
Ayu juga dituduh menyerang lelaki yang dikatakan ada hubungan dengan Zaquan.
Begitu sensasi yang meletus tentang cinta mereka Hebat betul penangan Zaquan. Ayu sedikit terkejut membaca laporan tersebut. Namum akhirnya dia ketawa sendirian kerana berasa hal itu terlalu tidak masuk akal.

"Itu semua fitnah dan merapu. Nasib baik saya dan Zaquan bukan jenis yang cepat melenting. Kami biarkan ia berlalu dan cuba bertahan.
"Cuma yang tidak enak bila berita begini keluar, ia memberi impak kepada keluarga.
"Jadi, saya berharap janganlah ada cerita begini lagi sehingga ia boleh mengaibkan keluarga. Tidak elok," lembut tutur Ayu melepaskan kesal terhadap prahara yang menerjah hubungan mereka baru-baru ini.
Cemburu
Saya usik Ayu, cerita Zaquan mencintai lelaki lain memberi tamparan hebat kepada wanita secantiknya.

Barangkali dia lebih rela kalau teman lelakinya itu menjalin asmara dengan wanita lain. Itu kedengaran lebih mulia.

Tapi pantas Ayu menyambut sogokan tersebut dengan jeritan kecil: "Tak mahu. Kalau ada pun (teman wanita lain), saya tak rela sangat. Kalau betul sudah tidak suka, biar putus sahaja. Tak mahu ada orang ketiga atau seterusnya."

Tambah adik pelakon Rozita Che Wan ini lagi, sebenarnya kisah Zaquan dan teman lelaki bukan sensasi pertama yang tercetus selepas mereka berpacaran.
Sejak mereka berkasih-kasihan enam bulan lalu, sudah beberapa 'siri drama' mereka lalui.
Selain tersebar gambar Zaquan dengan wanita lain, saban hari Ayu menerima panggilan daripada pelbagai wanita yang mengaku mereka sebagai teman wanita Zaquan.
Wanita-wanita tersebut mendakwa Zaquan sedang bersama mereka.
Ironi, Zaquan pada satu ketika sedang duduk di sebelahnya. Dimarahi dan dituduh wanita tidak sedar diri dan diminta melepaskan diri daripada kembar kepada Aidil Zafuan itu pun menjadi rencah hidupnya sekarang.
"Sampai sudah lali. Tapi saya tak ambil pusing, kalau tidak, penat nak bergaduh dengan Zaquan hari-hari," katanya ketawa.

Beritahu Ayu lagi: "Saya pun bukannya sengaja nak bercinta dengan pemain bola. Saya tak ada sasaran lelaki macam dia. Tapi sudah jodoh, nak buat macam mana?"
Disogok tentang kasih yang mula terjalin, cerita Ayu, sebagai wanita, dia akui, sejak lama dulu, dia meminati Zaquan dalam diam.
Pada persepsi Ayu, Zaquan bukan sahaja kacak, bahkan memiliki karisma tersendiri di padang bola.
Magis cinta mereka bertebaran saat Zaquan memulakan langkah pertama sekitar bulan Mei tahun lalu.

Dua tahun dan terkenal
"Memang saya meminati dia, tapi sebagai perempuan, saya tidak akan memulakan langkah. Kalau boleh biar dia yang mulakan dulu.
"Nak jadi cerita, pertama kali bertemu Zaquan, saya keluar makan malam dengan teman-teman pemain bola (termasuk Zaquan). Pulang daripada makan malam, dia (Zaquan) hantar khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada saya dengan perkataan hot.
"Sejak itu kami berkawan baik sebelum dua bulan kemudian kami bercinta. "Ia terjadi begitu sahaja sehingga saya sendiri hampir tidak percaya saya kini sedang bercinta semula," katanya dengan mata bercahaya sarat emosi cinta.

Menganggap Zaquan sebagai seorang yang bersahaja dan sedikit tegas, dia bahagia menyulam asmara dengan jejaka hangat ini.
Hanya saat ditanya bagaimana dengan perancangan masa depan, kemungkinan berkahwin, Ayu mula mencongak.
Sebagai wanita, dia pernah ada mimpi untuk berkahwin pada usia muda. Mahu ada anak dan melihat anak-anaknya membesar ketika dia masih muda.
Tetapi itu mimpi pada usianya seawal 21 tahun. Berbeza kini, meningkat dewasa, Ayu lebih senang menyerahkan hal kahwin ini kepada ketentuan jodoh.
Tegas Ayu: "Jujur, kami tak ada perancangan untuk berkahwin. Masih terlalu awal. Saya juga tidak meletak sasaran bila mahu berkahwin.

"Katakan, esok lusa kalau dia ajak saya berkahwin, saya akan kahwin. Saya sedia tapi semua terpulang kepada jodoh."
Cukup terkenal menerusi siri Nur Kasih, Ayu terlebih dahulu mencipta nama dalam drama-drama seperti Manjalara, Timur Mencinta Barat Merindu dan Wadi Rahmah. Dua tahun dalam industri, namanya pantas menjadi bualan.
Wanita secantiknya, peluang datang terbuka sehingga khalayak terlupa tentang kredibilitinya. Dia juga sibuk menjalani uji bakat untuk mendapatkan pekerjaan.
"Alhamdulillah, saya bersyukur kerana dalam tempoh dua tahun ini, semuanya berjalan dengan baik. "Saya sedar, nasib mungkin lebih menyebelahi saya, tapi saya juga harus bekerja keras untuk berada pada posisi ini.

"Dulu masa mula-mula berlakon, saya tanya diri sendiri betul ke apa yang aku buat ini?
"Tapi sekarang saya makin selesa dan berusaha memberi komitmen yang terbaik dalam setiap kerja saya," ucapnya yang hanya mengambil satu kerja pada satu masa dan memastikan harga perkhidmatannya dibayar berbaloi.
Kini, Ayu sedang bersiap sedia masuk ke lokasi penggambaran Kepulangan Karina yang bakal ditayangkan di RTM.

Kali ini, Ayu tetap diberi tanggungjawab menghidupkan karakter wanita bertudung.
Tidak kisah dengan karakter tersebut, Ayu hanya meminta agar khalayak tidak menabur persepsi bukan-bukan terhadap dirinya yang sebenar.
Menurutnya, Ayu Raudhah di luar layar kaca adalah seorang wanita tidak bertudung yang kurang bercakap serta tiada keyakinan diri.
Namun, di layar kaca, dia hanya melakonkan watak seseorang seperti yang diminta.
Malah katanya: "Sebenarnya kalau boleh saya nak sangat bawa watak remaja kolej atau watak yang kurang beremosi seperti kebiasaan yang saya bawa. Tapi belum berkesempatan."

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger