Home » » Ajak remaja jauhi zina, punca keruntuhan moral masakini

Ajak remaja jauhi zina, punca keruntuhan moral masakini

Written By canang on Selasa, 23 Februari 2010 | 2/23/2010 08:52:00 PTG


ISLAM memandang berat perbuatan zina kerana mendatangkan pelbagai keburukan kepada pelaku dan masyarakat. Malah, pakar psikologi dan sosiologi berpendapat, punca keruntuhan nilai kehidupan manusia hari ini disebabkan gejala zina.
Naib Presiden Pertubuhan Jamaah Islam Malaysia (JIM), Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj, berkata gejala zina pada masa kini dianggap serius dan harus dibendung seperti gejala sosial lain. Buktinya, kajian dijalankan JIM pada 2009 membabitkan 727 responden daripada universiti tempatan dan swasta menunjukkan 50 peratus remaja pernah berzina. Setakat Disember 2009, jumlah anak luar nikah yang dilahirkan seramai 257,411 orang dan meningkat lebih 100 peratus setiap hari. Kajian dijalankan Kementerian Belia dan Sukan pada 1994 di kalangan 5,860 belia berumur antara 13 hingga 21 tahun mendapati 28 peratus pernah melakukan hubungan seks sebelum berkahwin, 40 peratus menonton video lucah, 28 peratus berjudi manakala 25 peratus minum arak. Peratusan ini semakin bertambah dari setahun ke setahun. "Melihat kepada peratusan ini, sesungguhnya gejala zina adalah wabak serius yang harus dibendung. Kini, pelaku tanpa segan silu berzina seolah-olah mereka tidak takut kepada azab Allah. Surah al-Israk ayat 32 bermaksud: Dan janganlah kamu mendekati zina sesungguhnya zina itu adalah perbuatan keji dan jalan yang buruk," katanya. Menurut Harlina, zina bukan saja haram tetapi membawa kesan buruk kepada masa depan terutama pada nasab keturunan serta kesihatan reproduktif wanita seperti kehamilan luar nikah serta lebih buruk, ia membawa kepada pengguguran haram. "Kehamilan pada usia muda akan menjejaskan sistem peranakan kerana organ ini masih belum bersedia menerima kehadiran bayi dalam kandungan. Pengguguran pula menyebabkan jangkitan kuman pada rahim tidak kira sama ada dilakukan secara tradisional atau moden. Zina juga akan menyebabkan jangkitan virus Aids serta penyakit kelamin lain.


"Semua hal ini harus didedahkan kepada remaja supaya mereka tahu bahaya berzina terhadap organ reproduktif dan kesihatan mereka. Zina bukan hanya keseronokan semata-mata tetapi kesannya akan dirasai kemudian hari. Pengguguran haram turut membuatkan seseorang itu terdedah kepada kesakitan pada saluran pembiakan, sekali gus boleh mengakibatkan kemandulan," katanya.


Kesan perzinaan juga menyebabkan masalah kesihatan lain seperti penyakit mental sekiranya psikologi tidak mampu diatasi dengan baik. Ia boleh mengakibatkan tekanan terutama bagi mereka yang sering dilanda ketakutan dan perasaan bersalah terhadap perbuatannya yang bertentangan dengan fitrah manusia.


"Kelahiran anak luar nikah juga semakin berleluasa dan mereka tidak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa kandung. Lebih parah apabila anak-anak ini mengetahui siapa diri mereka. Mereka yang tertekan akibat kelahiran anak luar nikah akan mengambil jalan singkat dengan membuang bayi," katanya.


Menurutnya, ibu bapa memainkan peranan penting memberi maklumat mengenai seks kepada anak-anak. Perbincangan mengenainya haruslah bergantung kepada peringkat kematangan dan usia anak. Namun kini, ibu bapa banyak menyerahkan tugas itu kepada guru dengan harapan guru dapat memberi maklumat lanjut. Tetapi ini pandangan yang salah, akibatnya anak mencari saluran lain untuk mendapatkan maklumat menerusi kawan, video dan Internet.


Paling penting, ibu bapa harus memahami peringkat kematangan anak iaitu sebelum baligh, baligh, remaja dan dewasa muda. Setelah memahaminya, barulah ibu bapa menggunakan pendekatan berbeza misalnya pada peringkat sebelum baligh, anak lelaki dan perempuan diasingkan tempat tidur. Mereka juga harus diajar supaya mempunyai rasa malu dan meminta izin apabila masuk ke bilik ibu bapa. "Kini, ibu bapa malu untuk berbincang dengan anak mengenai seks. Ada beranggapan seks itu mencarut dan memalukan, pada hal tidak. Sepatutnya ibu bapa menjadi rujukan pertama anak, bukannya guru atau kawan," katanya. Ibu bapa juga tidak boleh membandingkan keadaan mereka dulu dengan sekarang kerana kematangan remaja dulu berbeza. Dulu, remaja melalui proses kematangan yang singkat. Pada usia 12 hingga 15 tahun, remaja perempuan sudah bergelar isteri dan berstatus ibu manakala lelaki menjadi suami seawal usia 17 tahun. Zaman remaja yang terlalu singkat menyebabkan mereka tiada masa melakukan aktiviti tidak berfaedah. "Zaman sudah berubah, dengan kecanggihan teknologi maklumat, pengaruh media massa dan persekitaran, ibu bapa berdepan dengan cabaran besar membesarkan anak. Tambahan pula, sekiranya tidak dilengkapi ilmu keibubapaan.


"Ibaratnya, dulu anak saya hanya dibekalkan dengan sampan dan pendayung, tetapi kini jika saya membekalkan sampan dan pendayung yang sama, anak akan karam dirempuh ombak besar. Justeru, bagi mengelak karam, saya harus melengkapkan mereka dengan bot berkuasa tinggi supaya mereka dapat mengharungi cabaran dan selamat sampai ke destinasi," katanya.


Menurutnya, pandangan ibu bapa yang beranggapan seks dikaitkan dengan alat kelamin saja seharusnya diubah. Seks berkaitan biologi iaitu anggota fizikal dan fungsi organ seksual, emosi berkaitan rasa hormat kepada wanita dan sikap saling sayang menyayangi, sosial berkaitan interaksi sesama berlainan jantina, spiritual mengenai kekuatan dalaman serta akal yang bijak iaitu menggunakan seks apabila tiba waktunya.


"Jika setiap orang memahami fungsi ini, tidak wujud masalah yang mengatakan seks memalukan atau mencarut," jelasnya. Atas kesedaran membendung gejala zina, JIM dengan kerjasama Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudatus Sakinah (RS) melancarkan kempen Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) khusus untuk remaja dan belia sama ada di peringkat sekolah menengah, universiti atau yang sudah bekerja. Kempen dilancarkan pada 2007 ini akan dijalankan secara besar-besaran ke seluruh negara dengan harapan dapat memberikan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai bahaya zina.


Menurut Pengarah Pusat Bimbingan Remaja Puteri Raudatus Sakinah, Rosmawati Zainal, kempen ABJZ sebagai satu usaha bersepadu RS dan JIM mengurangkan gejala sosial pada peringkat nasional dengan matlamat menjadikan Malaysia disenaraikan sebagai negara zero zina.


Rosmawati berkata perkataan 'zina' sengaja digunakan dalam kempen kerana ia adalah bahasa di dalam al-Quran bagi menerangkan makna hubungan seks yang membabitkan pasangan tiada ikatan perkahwinan dan setiap umat Islam dilarang keras mendekati atau melakukan perbuatan keji itu.


Menerusi pendekatan secara berterus terang termasuk menggunakan perkataan 'zina' dalam kempen, ia seolah-olah memberi peringatan kepada masyarakat bahawa perbuatan itu sememangnya terkutuk dan dilaknat Alah. "Sebelum ini kita sering menggunakan perkataan seks bebas, seks rambang, hubungan luar nikah dan terlanjur, namun semua ini membawa maksud sama iaitu zina. Perkataan ini tidak membawa kesan yang besar kepada remaja seolah-olah tidak menakutkan mereka. Perkataan zina sekurang-kurangnya mengingatkan kita mengenai hukum Allah terhadap balasan perbuatan ini," katanya.


Menurut Pengerusi Raudatus Sakinah, Yusnani Abdul Hamid, kempen itu menggunakan pendekatan lebih interaktif untuk memberi kesedaran kepada belia mengenai bahaya zina. Pendekatannya termasuk bengkel sehari menerusi perspektif Islam serta perkhemahan tiga hari dua malam untuk memberi penghayatan lebih mendalam mengenainya.


Menjelang 31 Disember 2010, ABJZ berhasrat mengadakan himpunan terbesar peringkat nasional dengan menghimpunkan lebih 1,000 belia dan mereka semua akan mengatakan tidak kepada zina.

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger