Home » » Bahana ketagihan seks

Bahana ketagihan seks

Written By canang on Ahad, 7 Februari 2010 | 2/07/2010 09:07:00 PG


WALAUPUN hatinya remuk setelah skandal seks suaminya, bintang golf No. 1 dunia, Tiger Woods, 34, terdedah, Elin Nordegren, 30, masih mahu menyelamatkan perkahwinan mereka demi anak-anak, Sam, 2 tahun dan Charlie, 11 bulan.
Namun, kesediaan bekas model Sweden itu menerima semula Woods adalah bersyarat termasuk Woods mesti berjumpa pakar untuk menghentikan ketagihan seksnya.
Bintang sukan kelahiran Cypress, California, Amerika Syarikat itu tidak mampu menutup kisahnya yang obses seks lantaran 19 wanita termasuk pelayan kelab malam dan pelakon porno mula mengakui pernah menjalin hubungan intim bersama Woods November lalu.

Menurut Perunding Terapi Ketagihan, Pusat Perubatan Gleneagles, Kuala Lumpur, Chris Sekar, seseorang yang dikenal pasti mengalami ketagihan terhadap sesuatu seperti seks akan bersikap untuk menafikan tabiatnya itu.
"Daripada laporan media, kemungkinan besar Woods mengalami masalah ketagihan seks kerana dia
sanggup melakukan sesuatu yang luar biasa hanya untuk memenuhi kepuasan seksualnya namun dia enggan mengakuinya.
"Ketagihan mempunyai pelbagai cabang rangsangan. Antaranya ketagihan perlakuan seperti ketagih seks, ketagihan kimia seperti dadah dan ketagihan tersembunyi seperti membeli-belah serta terlalu kuat bekerja.

"Walaupun ketagihan ini berbeza namun simptomnya adalah sama. Penagih akan sanggup melakukan apa sahaja untuk mendapatkan sesuatu yang diingini dan sekiranya wujud halangan, mereka akan mencari jalan keluar walau apa pun cara sekali pun," ujar Chris.
Meneliti kes profil Woods, beliau tidak menolak wujud toleransi dalam diri jaguh sukan golf itu untuk memuaskan nafsu seksnya.
"Woods pada awalnya mungkin mengadakan hubungan intim dengan seorang wanita. Atas dorongan dan rangsangan yang mungkin didapati daripada filem porno atau imaginasinya, Woods gemar untuk menukar selera dengan beraksi bersama lebih daripada seorang wanita dalam satu masa.


Cabang seks

"Dia juga pernah dilaporkan gian dan sangat teruja untuk melakukan seks bersama dua wanita dalam satu masa. Ia adalah unsur-unsur ketagihan seks yang boleh dilihat ada pada Woods.
"Tidak mustahil dia mengeluarkan AS$60,000 (RM204,800) seperti dilaporkan hanya untuk menganjurkan parti seks bersama beberapa pelacur berprofil tinggi," jelas Chris.
Merungkai gejala ketagihan seks di kalangan lelaki, Perunding Klinikal Andrologis, Hospital Damai Service, Kuala Lumpur, Dr. Mohd. Ismail Mohd. Thambi berkata, ia bukan semata-mata melakukan hubungan seks dengan pasangan.
"Ketagihan seks mempunyai banyak cabang. Dalam kes Tiger Woods, mungkin dia berminat dengan perempuan namun skop ketagihan yang sebenar adalah lebih daripada itu.

"Tidak semua lelaki mendambakan sentuhan di ranjang. Ada lelaki merasa terangsang apabila melihat gambar lucah, mendengar suara erotis, merakamkan figura berbogel dalam posisi tertentu, melayari web porno, perbualan telefon lucah dan sebagainya.
"Ada juga sesetengah lelaki boleh melakukan ejakulasi tidak hanya kerana hubungan seks sebaliknya nafsu mereka memuncak apabila melihat sebahagian anggota badan seperti kaki, haiwan ataupun objek. "Tidak mustahil golongan ini akan rasa puas apabila dapat membelai secara ghairah dan melakukan hubungan atau menggunakan objek tersebut untuk mendorong mereka memuaskan nafsu," jelas beliau.

Tidak mengaku

Walaupun manusia normal akan menganggap perilaku seks yang dinyatakan di atas sebagai pelik, namun menurut Ismail, lelaki ketagih seks tidak menganggapnya sebagai sesuatu yang luar biasa malah mendakwa ia adalah cara mereka.
"Penagih seks sanggup melakukan sesuatu yang luar biasa bagi memenuhi nafsu mereka.
"Biarpun orang yang rapat dengannya seperti isteri memberitahu tentang tabiat berlebihan atau aneh itu, mereka akan tetap menganggapnya sebagai sesuatu yang normal kerana fantasi seks mereka adalah sebegitu," katanya.
Bagi yang obses yang melampau terhadap seks, istilah muak bagaikan tidak wujud. Ismail menambah, penagih hanya akan berhenti daripada memikirkannya ketika letih dan tidur.

"Malah bagi yang begitu ekstrem, mereka akan melakukannya secara berterusan dan tanpa batasan. Bila letih, mereka akan tidur dan bila bangun mereka akan mahukan seks semula.
"Ia bukan soal puas atau tidak. Ada lelaki boleh puas dengan melakukan hubungan seks dengan seorang wanita namun keinginannya untuk meniduri ramai wanita bagi mencari kelainan dan cabaran mampu mengundang ketagihan.
"Selain itu, mereka juga terdedah dengan perubahan emosi mendadak, sama ada melonjak secara tiba-tiba atau menurun tanpa punca yang jelas.

"Bila saat ingin memuaskan nafsu, penagih akan berasa sangat ghairah namun apabila tidak mahu, naluri seks mereka juga akan dingin. Semuanya bergantung kepada keadaan emosi mereka," katanya.
Menurut beliau lagi, dalam satu kajian di Barat, ketagihan seks boleh bermula seawal remaja malah ada kes kanak-kanak lelaki berusia dua setengah tahun didapati mempunyai perilaku ketagihan seks.
"Mungkin kita pernah melihat kanak-kanak suka memegang kemaluan, menyelak kain dan menyentuh payu dara ibunya.
"Dalam sesetengah kes, mungkin ia akan nampak normal tetapi pada satu tahap ia akan menjadi tabiat yang boleh mengundang ketagihan seks seiring dengan pembesaran dan pendedahan yang diterimanya," katanya.Walaupun punca ketagihan seks ini masih belum dapat dijelaskan, Ismail tidak menolak ia ada kaitan dengan penyakit mental iaitu gangguan bipolar.

"Keghairahan seks boleh terjadi apabila ada bahagian otak yang terangsang akibat daripada pengambilan ubat dan penyakit bipolar.
"Sesetengah ubat seperti ubat darah tinggi mampu mencetuskan rangsangan berlebihan di beberapa bahagian otak termasuk bahagian yang mengawal syahwat. Jika bahagian ini terangsang, tidak mustahil pola seks seseorang itu akan turut menjadi aktif," katanya.

Sungguhpun cerita mengenai seks lebih terbuka dibincangkan di Barat, tidak bermakna ketagihan itu hanya berlaku di sana. Hakikatnya, masalah tersebut boleh dialami oleh sesiapa sahaja tanpa mengira warna kulit mahupun latar belakang agama.
Cuma jika di Malaysia, perbincangan mengenainya lebih tertutup malah masih ramai menganggapnya sebagai tabu untuk diceritakan pada khalayak umum.

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger