Home »
» Bangkit dengan semangat membara - Presiden PAS
Bangkit dengan semangat membara - Presiden PAS
Written By canang on Rabu, 10 Februari 2010 | 2/10/2010 10:50:00 PG
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan jentera parti seluruh negara dan negeri Perak supaya meneruskan gerak kerja dan bangkit dengan semangat baru yang membara ekoran keputusan Mahkamah Persekutuan semalam.
"Teruskanlah gerak kerja jentera parti di seluruh negeri Perak dan negara, dan bangkitlah dengan semangat baru yang membara untuk meneruskan cita-cita perjuangan PAS selama ini," katanya dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily.
PAS, jelasnya berpandangan walaupun keputusan mahkamah tidak menyebelahi Pakatan Rakyat, namun yakin rakyat negeri Perak masih dan akan terus bersama dengan kepimpinan Pakatan Rakyat yang diterajui Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Ianya kerana kepimpinan Pakatan Rakyat sememangnya telah dipilih secara sah oleh rakyat negeri itu menerusi proses pilihan raya umum ke-12 lalu.
Episod hitam ini juga diingatkan jangan sesekali melemahkan semangat juang seluruh kepimpinan PAS negeri itu.
"PAS juga menyeru kepada seluruh peringkat kepimpinan PAS di negeri Perak khususnya, dan di seluruh negara amnya agar tidak menjadikan episod hitam ini sebagai alasan yang dapat melemahkan semangat juang," katanya lagi.
Beliau turut mengingatkan kepada seluruh rakyat Perak agar bertenang dan tidak terlibat dalam sebarang provokasi yang mungkin dicetuskan oleh pihak-pihak tertentu.
"Pihak kepimpinan tertinggi PAS pula akan berbincang dalam masa terdekat ini untuk mengambil langkah strategik yang perlu dalam menghadapi suasana ini," katanya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan