Home » » Guan Eng sedia berdepan rakan tidak sehaluan

Guan Eng sedia berdepan rakan tidak sehaluan

Written By canang on Isnin, 8 Februari 2010 | 2/08/2010 07:19:00 PTG


SEBERANG JAYA, 8 Feb: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sanggup berhadapan dengan rakan dalam Pakatan Rakyat yang tidak sehaluan semata-mata untuk menjaga kepimpinan yang diamanahkan oleh rakyat pada 8 Mac tahun lalu.

"Jika dulu kawan, sekarang lawan, nak buat macam mana, mereka yang pilih macam tu. Demi perubahan Pulau Pinang, saya sedia menerima risiko," katanya semasa menutup Karnival Penang Harmoni: Muhibbah dan Berintergeriti anjuran Lajnah Penerangan PAS negeri di tapak ekspo, di sini, malam tadi.

Katanya, kerajaan negeri tidak akan mengubah dasar Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) untuk memenuhi hasrat rakan-rakan.

“Sebaliknya jika sesiapa yang mahu projek, mereka kena ikut cara tender terbuka tidak melalui 'kabel politik' macam dulu di zaman Barisan Nasional,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Air Putih berkata, sekarang kerajaan negeri telah memperkenalkan tender terbuka menerusi hujung jari, tidak lagi perlu menulis borang.

Tambahnya, cara berkenaan lebih efisyen dan pantas sesuai dengan era teknologi terkini di mana manusia terlampau sibuk dengan berbagai urusan peribadi, perniagaan ataupun apa sahaja.


Menyentuh mengenai isu dua orang Ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Pulau Pinang, beliau menambah, bagi merealisasikan pemerintahan yang dinamik, bertamadun dan berkeyakinan pasti muncul rintangan sama ada dalaman ataupun luaran.

"Sudah menjadi kebiasaan bila nak buat baik mesti ada rintangan. Tak apa, sudah lumrah, yang penting kita mesti hadapinya dengan tenang walaupun berisiko," ucapnya penuh bersemangat.

Beliau sedar sebenarnya yang menjadi dalang di sebalik pelbagai peristiwa sepanjang dua tahun pemerintahan Pakatan Rakyat ialah Umno dan komponen BN.

Katanya, kepimpinan mereka tidak akan duduk diam memikirkan bagaimana untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat yang jauh lebih kemampuan dan baik berbanding BN yang sudah 50 tahun memerintah.

Menurutnya, pemimpin BN mengambil kesempatan terhadap kuasa yang diberikan oleh rakyat untuk menambah karung kocek sendiri.

“Jika Umno dan BN benar-benar ikhlas berjuang terhadap bangsa, apa salahnya mereka membantu kerajaan sekarang untuk meningkatkan pendapatan negeri di samping memberi pandangan bernas berhubung kepentingan bersama. Elakkan pertembungan yang berterusan. Jangan jadikan perbezaan politik mengakibatkan kita sama-sama rugi padahal negeri lain mengecapi pembangunan," ujarnya.

Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger