Home »
» Kasino pertama dibuka di Singapura
Kasino pertama dibuka di Singapura
Written By canang on Isnin, 15 Februari 2010 | 2/15/2010 09:34:00 PTG
SINGAPURA 14 Feb. - Kasino pertama Singapura dibuka hari ini dengan menyaksikan pelanggan pertama dibenarkan masuk ke ruang pertaruhan di kompleks Resorts World Sentosa.
Pembukaan tersebut yang akan diikuti dengan pembukaan sebuah lagi kasino dalam beberapa bulan merupakan sebahagian daripada projek berbilion dolar dalam usaha melakukan transformasi ke atas industri pelancongan republik itu.
Pintu kasino serba besar dan cantik itu dibuka kepada orang ramai pada pukul 12:18 tengahari pada hari pertama Tahun Baru Cina.
Apabila disebut dalam dialek Kantonis, 12:18 berbunyi seperti 'gemilang'. Seorang wanita pertengahan usia merupakan orang pertama memasukinya diikuti kira-kira 200 yang lain.
Resort berharga AS$4.4 bilion (RM14.96 bilion) itu turut menampilkan taman tema Universal Studios yang pertama di Asia Tenggara. Ia juga dibuka selama seminggu untuk tatapan ringkas mulai hari ini.
''Kita sudah lama menunggu saat ini. Pembukaan kasino ini pada hari ini merupakan satu sejarah buat Resorts World Sentosa, Genting Group dan Singapura,'' kata Pengerusi Genting Group, Lim Kok Thay pada satu majlis sebelum pembukaan tersebut.
''Tidak ada masa yang lebih baik untuk membuka kasino ini,'' katanya merujuk kepada Asia yang memimpin dunia untuk keluar daripada kemelesetan ekonomi global terburuk sejak 1930-an.
Kasino kedua Singapura, Marina Bay Sands yang sedang dibina oleh firma berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Las Vegas Sands dijangka dibuka April ini.
Singapura berharap kedua-dua kasino berkenaan dapat membantu mencapai sasaran menarik 17 juta pelancong setahun ke negara tersebut dan menjana lebih AS$21 bilion menjelang 2015 sekali gus merancakkan sektor perkhidmatan dan mengurangkan peranan sektor pengeluaran.
Singapura meluluskan pembinaan kedua-dua kasino berkenaan pada 2005 selepas melalui satu perbincangan hangat mengenainya.
Mereka yang menentangnya bimbang ia akan meruntuhkan nilai-nilai keluarga dan membawa risiko menjadikan Singapura sebagai tempat pembersihan wang.
Rakyat Singapura dikehendaki membayar AS$70 (RM238) sehari untuk memasuki kasino berkenaan. - AFP
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan