
Walaupun Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M Kayveas minggu lalu menyatakan kedudukan parti pimpinannya stabil tapi kenyataan semata-mata cubaan bagi menutup pergolakan yang dilihat semakin memuncak.
Ia berikutan kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah yang mahu meninggalkan PPP jika Mahkamah Tinggi mengesahkan beliau bukan presiden parti itu yang sah.
Mengikut Bernama, Mahkamah dijangka mendengar permohonan Murugiah PADA 1 Mac ini supaya pengisytiharan Tribunal Timbang Tara Malaysia (MATE) bahawa beliau adalah presiden PPP yang sah, dikuat kuasa.
"Jika saya tewas, saya akan tinggalkan parti bersama-sama 210,000 ahli PPP di seluruh negara yang kini berada bersama-sama saya. Kami akan mencari platform baru selepas itu," katanya malam tadi
selepas satu perjumpaan dengan penyokongnya di Ipoh.
Murugiah dan Kayveas terbabit dalam pertelingkahan merebut jawatan tertinggi parti berkenaan sejak Mei tahun lalu.
Murugiah telah mengadakan satu mesyuarat agung luar biasa yang menyaksikan beliau dipilih sebagai presiden tetapi Pendaftar Pertubuhan (ROS) memutuskan bahawa Kayveas adalah presiden yang sah.
MATE pula mendapati Murugiah adalah presiden yang sah dan ini mendorong beliau mengemukakan permohonan di mahkamah supaya keputusan tribunal itu dilaksanakan.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Diana Md Razali menetapkan tarikh 1 Mac ini untuk sebutan kes yang difailkan oleh Murugiah pada 28 Dis tahun lalu untuk menguatkuasakan keputusan Mate itu.
Sambil berjanji akan akur dengan sebarang keputusan mahkamah nanti, Murugiah berharap Kayveas juga tidak akan menimbulkan sebarang bantahan jika keputusantidak memihak kepadanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan