Home »
» Royalti: Rakyat digesa kibar bendera Kelantan tanda sokongan
Royalti: Rakyat digesa kibar bendera Kelantan tanda sokongan
Written By canang on Khamis, 4 Februari 2010 | 2/04/2010 08:10:00 PTG
KOTA BHARU, 4 Feb: Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Kelantan (Gegar) menggesa seluruh rakyat negeri ini dan di mana sahaja mengibarkan bendera Kelantan sebagai tanda sokongan kepada kerajaan Kelantan menuntut royalti.
Pengerusi bersama Gegar, Dr Abdul Halim Yusof dan Mohamad Fauzi Abu Samah dalam satu kenyataan berkata, ianya juga sebagai komitmen dan keperihatinan seluruh rakyat Malaysia kepada hak rakyat negeri itu.
"Gegar merayu dan memohon seluruh rakyat dan anak Kelantan di mana sekalipun mereka berada untuk Mengibarkan bendera negeri Kelantan di kereta, premis kediaman dan tempat yang sesuai sebagai tanda sokongan kepada kedaulatan Persekutuan Malaysia di mana Kelantan adalah salah sebuah negeri yang mendokong Persekutuan," kata mereka.
Selain itu Gegar juga mahu rakyat terus memberi sokongan terhadap sebarang usaha memberi kesedaran rakyat dan meningkatkan perasaan bertanggungjawab untuk menyumbang dan membantu bagi memajukan Kelantan sebagai negeri yang aman, sejahtera dan maju dalam ekonomi, sosial dan politik.
Mereka juga kesal dengan kenyataan berterusan Datuk Mustapha Mohamed dan Datuk Dr Awang Adek Hussein selaku anak kelantan yang menidakkan pemberian wang royalti kepada Kerajaan Negeri Kelantan.
Bagi mereka, semua pihak perlu menghormati penjelasan Pengerusi PETRONAS Pertama, Tengku Razaleigh Hamzah yang terbabit secara langsung dalam perjanjian tahun 1975.
"GEGAR menganggap kecaman dan sindiran pihak tertentu terhadap YBM Tengku Tan Sri Razaleigh Hamzah adalah amat tidak wajar kerana majlis tersebut adalah majlis penjelasan sebenar kepada rakyat," katanya.
Sehubungan itu mereka mengajak semua pemimpin dan penggerak politik tanpa mengira parti, pemimpin masyarakat, ulama dan cendekiawan, sasterawan, budayawan, pentadbir, petani, peniaga, peraih serta seluruh warga masyarakat untuk menuntut dan mempertahankan hak royalti minyak dan masa depan seluruh rakyat dan negeri Kelantan demi kebaikan rakyat dan generasi.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan