
APABILA nama kedua bintang muda diumumkan bakal menjayakan persembahan di The Actors Studio yang terletak di atas bumbung pusat membeli-belah, Lot 10, malam Sabtu lalu, ramai yang skeptikal.
Masakan tidak, siri kedua persembahan Malam Nada Biru (MNB) menampilkan Najwa dan Yuna.
Hakikatnya, kedua-duanya masih baru dan mereka pula hanya memiliki sebuah lagu popular sahaja sebagai pengenalan diri di pesada seni tanah air.
Yuna, si gadis manis bertudung memang cukup masyhur dengan lagu Dan Sebenarnya manakala rakan seperjuangannya, Najwa pula cukup diingati kerana kolaborasinya bersama Malique menerusi lagu Kau Yang Punya.
Ada juga yang tertanya-tanya apa rasional Atilia selaku penganjur dan penerbit MNB memilih kedua-dua bakat baru ini sedangkan ramai lagi nama-nama popular yang boleh diketengahkan.
Apatah lagi, nama Yuna dan Najwa juga masih belum cukup kuat untuk menarik audien membanjiri lokasi yang cukup eksklusif itu.
Namun, segala persepsi dan pandangan sk eptikal itu mula terhakis sedikit demi sedikit sebaik sahaja Najwa muncul di pentas untuk set pertama.
Memulakan persembahan dengan lagu Monday Blues, membuatkan audiens tergamam kerana ramai yang tidak menyangka gadis ini memiliki mutu vokal yang cukup hebat.
Sebetulnya, penulis juga belum pernah menonton persembahannya sebelum ini.
Kalau hendak diukur pada persembahannya menerusi lagu Kau Yang Punya, ia belum cukup meyakinkan penulis terhadap bakatnya.
Tetapi, MNB membuktikan bahawa Najwa mempunyai potensi untuk terus bertahan lama dalam industri dan dia mampu berdiri atas usahanya sendiri.
Meneruskan persembahannya dengan rangkaian lagu-lagu seperti Crazy, Love Song dan Your Love, Najwa berjaya membuai perasaan audiens dengan lontaran vokalnya yang penuh emosi.Koleksi lagu yuna dan najwa KLIK

Penghayatan untuk setiap lagu yang didendangkan Najwa memang cukup dahsyat sehingga The Actors Studio menjadi senyap sunyi dan semua mata tertumpu kepadanya.
Menyaksikan Najwa atau nama sebenarnya, Najwa Mahiaddin menyanyi terus membuatkan penulis teringat kepada Anita Baker dan Liza Aziz kerana dia memiliki ciri-ciri yang ada pada kedua-dua penghibur ternama itu.
Seperkara lagi tentang Najwa yang mungkin tidak diketahui ramai adalah kesemua lagu yang disampaikannya pada malam itu adalah hasil karyanya sendiri.
Kata Najwa, setiap lagu ciptaannya mempunyai kisah tersendiri yang menjadi suis punca kepada penghasilan karya-karyanya.
Seperti lagu How Long I Must Wait, cerita Najwa merupakan terjemahan kisah cintanya sewaktu dia masih menuntut di Melbourne, Australia tidak berapa lama dulu.
"Mungkin kini kisahnya tidak lagi relevan kepada diri saya tetapi saya percaya pasangan yang pernah melalui alam percintaan jarak jauh boleh mengaitkan lagu ini dengan mereka.
"Apabila bercinta jarak jauh, semuanya memerlukan pengorbanan dari pelbagai segi. Kerana itu, saya menghasilkan lagu dan lirik lagu ini," kata gadis berusia 24 tahun itu sebelum menyampaikan lagu indah itu.
Selain memiliki bakat nyanyian yang cukup membanggakan, Najwa juga berkebolehan bermain piano dengan baik sekali gus mengingatkan penulis kepada Alicia Keys.
Malam terus bertambah hangat apabila Najwa berduet dengan salah seorang penyanyi latarnya, Faviq menerusi lagu Free yang cukup catchy dan cepat ditangkap telinga.
Keserasian antara Najwa dan Faviq cukup terserlah. Malah, tidak keterlaluan dikatakan mereka mampu menjadi pasangan duet yang ideal seandainya diberi peluang merakamkan album bersama.
Najwa turut memperdengarkan karyanya yang lain seperti Sweet October, Jealousy dan Got To Go yang akan menjadi single pertamanya nanti.
Demi tidak menghampakan audiens, Najwa turut mendendangkan lagu Kau Yang Punya secara medley bersama lagu Jealousy.
Apa yang pasti, Najwa juga memiliki kebolehan berkomunikasi yang baik dan celotehnya ringkas tetapi ada isi tanpa perlu meleret-leret sehingga meresahkan serta membosankan audiens.
Biarpun sepanjang masa berkomunikasi dalam bahasa Inggeris tetapi tindakan itu adalah sesuai kerana situasi dan acaranya yang bertepatan untuk Najwa berbuat demikian.
Berbeza dengan penyanyi baru yang sedia ada, Najwa memiliki karisma tersendiri untuk terus meletakkannya sebagai penyanyi yang mampu bertahan lama.
Seterusnya, giliran Yuna pula mengambil alih pentas selepas persembahan direhatkan 15 minit.
Memilih lagu Sparkle sebagai lagu pembukaan, Yuna seperti biasa tampil ringkas di pentas dan menyanyikan lagu tersebut dengan gaya tersendiri.
Memang tidak wajar untuk membandingkan Yuna dengan Najwa kerana kedua-duanya berada dalam jalur muzik yang berbeza.
Seperti mana Najwa, MNB juga diambil oleh Yuna untuk menonjolkan karyanya sendiri yang sebelum ini jarang didengar oleh peminat muzik tanah air.
Selain lagu Sparkle, Yuna turut mempersembahkan lagu-lagu seperti Peer Pressure, Permission dan Deeper Conversation yang menyerlahkan lagi bakat nyanyiannya.
Pemilik nama sebenar Yunalis Zarai ini juga menulis lagu-lagunya berdasarkan kisah kehidupan dan pengalaman yang dialaminya sebelum ini.
Lagu Gadis Semasa kata Yuna, merupakan kisah yang lahir daripada pengamatannya terhadap apa yang dilihatnya menerusi situasi masa kini.
Lagu tersebut merupakan salah sebuah lagu terbarunya yang akan dimuatkan dalam album pertamanya yang kini dalam pembikinan.
Begitu juga dengan lagu Random yang menceritakan bagaimana perasaan Yuna ketika di bangku sekolah yang mahu menempatkan dirinya di kalangan pelajar-pelajar popular ketika itu.
"Sebagai seorang penyanyi dan pengkarya, saya memiliki dua kehidupan - satu yang positif dan juga sisi gelap saya.
"Lagu seterusnya ini, Cinta Sempurna menceritakan dengan jelas tentang sisi gelap saya itu di mana ia cukup berbeza dengan perwatakan diri saya yang sebenar," katanya ringkas dalam maksud yang mendalam.
Mengakhiri persembahannya dengan lagu Rocket, Yuna kemudiannya menyampaikan lagu popularnya, Dan Sebenarnya sama seperti persembahannya ketika di Anugerah Juara Lagu Ke-24, baru-baru ini.
Kemuncak persembahan MNB menyaksikan Yuna dan Najwa berduet menerusi lagu Dan Sebenarnya dan Sweet October yang telah meninggalkan kesan besar.
Berbeza dengan Najwa, komunikasi Yuna amat terhad dan dia boleh memperbaiki kelemahan itu untuk terus menjadi seorang penghibur.
Bukannya Yuna perlu berceloteh panjang tetapi, setidak-tidaknya dia boleh mewarnakan komunikasinya untuk membangkitkan rasa teruja kepada audien.
Setiap penyanyi dan penghibur memiliki kelebihan dan keistimewaan masing-masing dan ada kalanya, mereka tidak perlu berbicara panjang di atas pentas.
Cukup dengan muzik dan persembahan mereka sahaja, komunikasi dengan audiens sudah dapat dicipta.
Syabas dan tahniah kepada Atilia menerusi syarikatnya, Mujik Productions dengan kerjasama Bsync Productions kerana berani mempertaruhkan Yuna dan Najwa untuk siri kedua MNB ini.
Percaturannya tidak silap malah, MNB yang kedua ini boleh dianggap sebagai persembahan tempatan terbaik selepas Konsert Satu Suara tempoh hari.
Pada masa yang sama, kehadiran mereka berdua membuktikan bahawa negara ini sebenarnya tidak pernah ketandusan bakat baru yang boleh dibanggakan.
Cuma, peluang itu tidak diberikan kepada mereka oleh pihak-pihak tertentu yang masih lagi terikat dengan kerenah birokrasi serta pemikiran jumud.
Seharusnya, mereka ini patut hadir dan menonton untuk membuka mata masing-masing agar dapat menghargai bakat seperti Yuna dan Najwa yang mampu meneruskan legasi seni tanah air.
Kepada Yuna dan Najwa, segerakan penghasilan album kalian ya!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan