
SESUAI dengan sambutan Maulidur Rasul yang disambut umat Islam pada 26 Februari lalu, Unit Kebudayaan dan Kesenian, Bahagian Pembangunan Pelajar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Tinggi menganjurkan sebuah persembahan yang diberi nama Islamic Performing Arts Concert (Ipac) 2010 di kampus induknya di Gombak.
Konsert terbabit dianjurkan dengan matlamat memberikan peluang kepada pelajar meningkatkan kemahiran insaniah seperti kebolehan komunikasi, kepimpinan dan pemikiran kreatif.
Lebih daripada itu, program itu dilihat sebagai landasan terbaik bagi pelajar mengasah bakat mereka. Ia usaha yang harus dipuji dalam menggalakkan aktiviti kebudayaan dan kesenian Islam di kalangan masyarakat kampus UIAM serta masyarakat sekitarnya.
Bertemakan Love Is, persembahan pada malam itu membabitkan pelajar daripada kumpulan kebudayaan UIAM seperti kumpulan teater, gamelan, caklempong, dikir barat, nasyid, angklung, genderang dan Ummul Qura’. Konsert itu juga dimeriahkan dengan kemunculan pemuzik dari Istana Budaya serta penampilan istimewa penyanyi terkenal, Ramli Sarip.
Biarpun tanpa kelibat ramai artis terkemuka, pementasan itu masih dianggap cukup unik kerana muzik yang dipersembahkan bukan hanya dimainkan secara langsung, malah irama yang kedengaran adalah hasil gabungan alat muzik moden dan tradisional.
Lebih bermakna, penonton dapat menyaksikan bakat yang dipupuk sendiri oleh universiti terbabit, apabila pelajarnya mementaskan pelbagai jenis seni persembahan termasuk lakonan yang menceritakan konsep cinta kepada manusia, Rasul, dan akhirnya cinta yang hakiki kepada Allah.
Pemilihan Ramli sebagai kemuncak persembahan malam itu tentunya keputusan paling tepat kerana pengaruh artis berimej rambut panjang ini bukan calang-calang. Dia penyanyi yang mempunyai aura tersendiri serta digemari generasi baru dan lama.
Alunannya terhadap lagu kemanusiaan dan ketuhanan sering kali menusuk hati peminat dan malam itu, Ramli dan magisnya sekali lagi berulang apabila dia menyanyikan lagu keramat, Engkau Yang Satu, irama cukup bersesuaian dengan tema persembahan.
Bukan Ramli saja yang menyampaikan lagu berunsur ketuhanan, malah majoriti persembahan pada konsert terbabit bercirikan konsep serupa. Daripada persembahan lakonan dan lagu yang disampaikan, semuanya mengajak penonton sama-sama menginsafi kejadian diri dan berkongsi kasih sayang sesama insan, ibu bapa, keluarga, Rasul dan paling utama, cinta kepada Yang Maha Esa.
Konsert itu sendiri dibuka kehadirannya kepada masyarakat sekitar. Bahkan pelajar dari institusi pengajian tinggi lain turut diundang termasuk dari Institut British Malaysia serta sekolah berhampiran. Pelajar UIAM kampus Kuantan tidak ketinggalan memeriahkan acara.
Pada malam itu, kira-kira 2,400 penonton termasuk Presiden UIAM, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Rektornya, Profesor Datuk Seri Dr Syed Arabi Idid serta pihak pengurusan tertinggi universiti hadir menyaksikan persembahan pelajar dan artis jemputan mereka.
Semoga, persembahan serupa akan terus diperkembangkan oleh unit kebudayaan IIUM, bukan sekadar memupuk bakat seni yang dimiliki pelajarnya, malah konsert sebegini mampu menyalurkan rasa keinsafan di kalangan penonton, menerusi lagu berunsur ketuhanan dan persembahan penuh pengisian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan