Khamis, 22 April 2010

150,000 Pengawal Keselamatan Nikmati Kenaikan Gaji Sehingga 75 Peratus

KUALA LUMPUR: Mulai 1 Julai, kira-kira 150,000 pengawal keselamatan dalam industri kawalan keselamatan akan menikmati kenaikan gaji antara 67 dan 75 peratus.

Mengumumkan perkara itu hari ini, Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam berkata, dengan kenaikan gaji itu, gaji bersih pekerja dalam sektor kawalan keselamatan akan berada dalam lingkungan antara RM1,100 dan RM1,450 sebulan.

Gaji minimum pekerja sektor kawalan keselamatan masa ini adalah dalam lingkungan antara RM300 dan RM400 sebulan.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, Subramaniam berkata, keputusan menaikkan gaji itu dilakukan mengikut Akta Majlis Penetapan Gaji 1947.

"Kami akan menaikkan gaji berasaskan kepada pelbagai zon geografi dan butiran mengenainya akan diumumkan kemudian," kata beliau.

Menteri Sumber Manusia itu berkata proses sama akan dilakukan bagi para pekerja dalam industri tekstil, elektronik dan hospitaliti.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata, kementerian sedang menyemak semula perundangan buruh bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi selaras dengan Model Ekonomi Baru, yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada akhir Mac lepas.

"Dalam proses kajian semula itu, kementerian akan menggunakan pendekatan perbincangan terbuka dan telus seperti mengadakan taklimat dan perbincangan dengan wakil-wakil majikan seperti Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF), Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan wakil-wakil pekerja iaitu Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) dan Cuepacs," katanya.

Subramaniam berkata, perbincangan ini bertujuan menjelaskan konsep kajian dan perkara-perkara yang dipertimbangkan untuk tujuan pembaharuan.

"Kami berharap untuk menerima maklum balas daripada pelbagai sektor terhadap cadangan-cadangan perubahan dan menerusi maklum balas berkenaan, kita gubal keputusan akhir," katanya.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.