Jumaat, 23 April 2010

Dr M anggap Zaid katak, minta undi calon BN

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini meminta pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor yang akan mengundi Ahad ini, supaya memilih calon BN.

Mantan perdana menteri itu berkata ini adalah kerana terbukti BN mampu membawa pembangunan dan perubahan ke kawasan mereka dan seterusnya memantapkan lagi taraf hidup rakyat di situ.

"Negara kita aman dan tenang, walaupun kita telah mencapai banyak kemajuan di kawasan bandar, banyak lagi yang perlu dilakukan di kawasan luar bandar, " katanya ketika berceramah untuk pilihan raya tersebut di Serendah.

Beliau berkata negara telah mencapai kemajuan kerana pemerintahan BN, kerana pemimpin perikatan tersebut bekerja untuk kemajuan negara dan bukan untuk kepentingan individu.

"Bila kita majukan negara semua mendapat faedah dan ini terbukti hanya boleh dilakukan oleh BN," katanya.

Bercakap mengenai calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim, beliau berkata bekas menteri itu boleh diibaratkan sebagai katak.

"Dulu dia dalam Umno jadi menteri, lepas itu dia melompat ke pembangkang. kaki belakang dia cukup kuat kerana sekarang dia dapat jadi calon pembangkang.

"Kita tak sepatutnya pilih atau percaya orang yang suka melompat macam ini. Nasihat saya jangan pilih orang macam itu.

"Nanti dia mabuk entah apa yang dibuatnya. Dia tak berjudi tapi ada kuda lumba. Saya pun ada kuda 30 ekor tapi bukan kuda lumba. Dia mengakui ada kuda lumba tapi dia kata dia tak berjudi, saya tak faham ni," kata Dr Mahathir.

Katanya calon BN P. Kamalanathan, yang turut hadir di ceramah tersebut pula merupakan calon yang bersih, fasih berbahasa Malaysia dan faham akan kehendak rakyat.

"Tak susah, cuma pangkah sahaja, pangkahlah calon BN. Jangan fikir panjang, tak ada yang lebih baik dari BN untuk memerintah negara ini," katanya.


Beliau juga yakin tampuk pemerintahan negara akan dapat mengembalikan kegemilangan BN seperti yang dikecapi sebelum pilhan raya umum 2008.

Bercakap di sidang media selepas ceramah tersebut yang dihadiri lebih 500 orang, Dr Mahathir berkata beliau tidak ingin orang tahu yang beliau akan berkempen di Hulu Selangor.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.