SEORANG pengawal keselamatan melindungi Speaker Parlimen, Volodymyr Liytvyn pada satu insiden baling telur di Parlimen Kiev semalam.
KIEV – Parlimen Ukraine bersidang dalam situasi huru-hara semalam apabila kalangan anggotanya bertindak membaling telur, bom asap dan bergaduh sesama mereka.
Sejumlah anggota Parlimen negara itu berbalas-balas tumbukan manakala seorang wakil rakyat dilihat memijak kepala anggota lain.
“Telur, bom asap semuanya sudah dibaling. Cuma senjata api sahaja yang masih belum digunakan,” kata seorang ahli Parlimen, Andriy Shevchenko.
Situasi memalukan itu tercetus berhubung isu perjanjian melanjutkan pajakan sebuah pangkalan tentera laut yang menempatkan Armada Laut Hitam Rusia di Ukraine.
Kalangan wakil rakyat parti pembangkang berang kerana Presiden Ukraine, Viktor Yanukovych memeterai perjanjian dengan rakan sejawatnya dari Rusia, Dmitry Medvedev untuk melanjutkan pajakan pangkalan laut itu sehingga sekurang-kurangnya pada tahun 2042 yang dianggap sebagai menjual maruah negara.
Tidak dapat menahan kemarahan, beberapa wakil rakyat mula membaling telur ke arah Speaker, Volodymr Lytvyn yang memaksanya berlindung di sebalik dua payung hitam yang dipegang oleh dua pembantunya.
Seorang wakil rakyat pro-Barat kemudian membaling sebutir bom asap sebelum keadaan menjadi tidak terkawal dan pergaduhan tercetus.
Seorang anggota Parlimen, Andriy Shevchenko daripada blok pembangkang diketuai bekas Perdana Menteri, Yulia Tymoshenko mengetahui bahawa bom itu dibaling oleh anggota-anggota pembangkang.
PAYUNG digunakan untuk melindungi Speaker Parlimen, Volodymyr Liytvyn semasa sidang sedang berlangsung.
Namun, dia menyatakan tindakan tersebut wajar dilakukan.
“Sejarah akan menghakimi kita,” katanya.
Walaupun huru-hara, beberapa Ahli Parlimen cuba untuk meneruskan sidang. Beberapa Ahli Parlimen menjerit: “Memalukan.”
Parlimen kemudian mengiktiraf perjanjian itu dengan 236 anggota Parlimen menyokongnya.
“Bom asap, balingan telur dan pergaduhan tidak akan menghalang pihak majoriti membuat keputusan,” kata Perdana Menteri, Mykola Azarov selepas sidang berakhir.
Menerusi perjanjian itu, Rusia bersetuju untuk memberikan Ukraine 30 peratus diskaun import gas asli yang dianggarkan bernilai AS$40 bilion (RM127.50 bilion) selama 10 tahun.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.