Home » » Dunia Artis: Ella Belum Puas!

Dunia Artis: Ella Belum Puas!

Written By canang on Jumaat, 16 April 2010 | 4/16/2010 11:58:00 PTG

Pencapaian Ratu Rock Malaysia, Ella dalam industri muzik Malaysia memang sukar untuk disangkal atau dikalahkah oleh mana-mana artis lain. Sehingga kini, Ella masih memegang rekod artis wanita yang paling laris jualan albumnya, iaitu melebihi 300,000 salinan.

Bahkan, tidak keterlaluan kalau GUA katakan sehingga kini masih belum ada penyanyi wanita yang mampu menggantikan tempat Ella. Ciri-ciri yang dimiliki oleh Ella memang sukar untuk untuk ditemui pada penyanyi wanita lain. Bukan tidak ada yang cuba membawa konsep rock, tetapi ‘penangannya’ tidak sehebat Ella.
Mengulas tentang perkara ini, Ella yang ditemui sebentar tadi memberitahu dia sendiri pun tidak menemui mana-mana penyanyi wanita yang ada persamaan dengan dirinya.

“Entahlah, mungkin ada di luar sana tetapi kita tidak menemuinya. Benda ini sebenarnya tidak boleh diajar. Ia adalah semulajadi. Macam Ella, ini adalah diri Ella dan apa yang Ella lakukan adalah sesuatu yang lahir dari jiwa. Ella seronok dengan apa yang Ella lakukan. Mungkin ini salah satu sebab mengapa Ella lain daripada yang lain,” ulas Ella sambil tersenyum manja.

Sebagai insan seni yang sudah lebih 20 tahun mengabdikan diri kepada bidang muzik pasti banyak suka duka yang telah dilalui oleh Ella. Namun, jika diperhatikan penyanyi dan juga pelakon ini tidak pernah jemu memperjuangkan muzik. Apatah lagi hendak bersara. Apakah yang membuatkan Ella begitu tegar?

“Dalam tempoh lebih 20 tahun Ella sudah lalui pelbagai perkara. Pahit, manis, dan pengorbanan, semuanya Ella sudah rasakan. Tetapi belum sampai masanya untuk Ella mengundurkan diri atau bersara. Ella memang suka menyanyi. Sebab itu Ella masih mahu teruskan. This is my career dan ini adalah periuk nasi Ella,” ujar Ella dalam nada tegas.



Masuk Istana Budaya
Bercerita lanjut tentang perjalanan kariernya, rupa-rupanya dalam diam-diam wanita yang menginjak ke usia 44 tahun ini sedang merancang sebuah konsert di Istana Budaya pada bulan Julai nanti. Menurut Ella, konsert itu akan mengambil masa dua hari dan dia akan mempersembahkan sesuatu yang cukup berbeza supaya peminat yang hadir boleh mengingatinya.

“Konsert Ella di Istana Budaya ini memang sudah confirm. Cuma Ella tidak dapat berkongsi lanjut tentang konsep persembahan kerana semuanya belum ada kata putus. Tetapi jangan risau, nanti satu sidang media akan diadakan bagi mengumumkan perkara ini. Apa yang boleh Ella katakan, konsert itu akan berlangsung pada 1 dan 2 Julai hadapan,” kata Ella. Sementara itu, Ella juga tidak terlepas daripada mengulas tentang penerbitan album terbarunya. Ini kerana albumnya itu sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat setelah Ella mengumumkannya pada majlis pelancaran album kompilasi Ella Greatest Hitz tahun lalu.

“Jika tidak ada apa-apa yang menghalang, album Ella akan keluar pada tahun ini juga. Setakat ini proses pembikinannya sudah mencecah 50 peratus. Ella masih lagi mahu memilih beberapa buah lagu untuk dimuatkan. Selain itu, Ella dan beberapa komposer masih lagi berbincang untuk susunan muzik. Ella mahukan muzik yang mampu membuatkan album kedengaran lain daripada yang lain. Maksud Ella, tidak sama dengan album-album Ella yang terdahulu,” jelas Ella lagi. Ditanya mengapa dia mengambil masa yang lama untuk muncul dengan album terbaru ini, Ella menjelaskan bukan mudah untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza.

“Mencari material memang tidak susah, tetapi untuk menghasilkan sesuatu yang kreatif itu yang susah. Sekarang hendak mencari lagu balada pun susah. Bagi Ella tidak ada yang betul-betul meresap ke dalam jiwa. Tidak macam dahulu,” luah Ella berterus-terang.

Konsert bersama Faizal Tahir
Kepada yang sudah tidak sabar mahu melihat aksi Ella di atas pentas, berita ini pasti menggembirakan anda. Ella akan bergabung dengan Superman Malaysia, Faizal Tahir di Konsert Jelajah 2 Zaman Ella dan Faizal anjuran MISB Resources Sdn Bhd. Konsert yang bertujuan untuk penjenamaan dan mempromosikan rangkaian produk NR ini akan menjelajah ke beberapa buah negeri bermula dengan Pulau Pinang pada 1 Mei nanti.

Untuk konsert itu nanti, Ella akan menyampaikan kira-kira lima buah lagu popularnya selama setengah jam. Bagi yang ingin menyaksikan konsert ini anda hanya perlu membeli pakej Set Produk Ekslusif Konsert Jelajah 2 Zaman NR Edisi Terhad. Setiap pembelian akan mendapat pas penghargaan secara percuma untuk menyaksikan konsert tersebut. Hanya satu pas akan diberikan kepada setiap pembelian set yang berharga RM100.





Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger