JIKA diselak satu persatu lembaran perjalanan hidupnya, pasti ada yang menggelengkan kepala tanda tak percaya dengan perjalanan kariernya. Penuh dengan liku dan ranjau yang tak berkesudahan.
Dan apabila menyebut sahaja nama Zarina An Julie pasti ia tak dapat dipisahkan dengan kontroversi. Ya, kontroversi itu bagaikan bersatu dengan dirinya dan seperti badi yang tak berkesudahan.
Maka pelbagai spekulasi, andaian dan tohmahan yang keluar dari mulut mereka yang tak senang dengan dirinya. Ada yang menganggap dia sebagai pembawa masalah semata-mata dan tak kurang juga yang melabelkan dirinya perosak kepada nama baik artis lain.
Bukan mahu mencari salah sesiapa tetapi siapa yang mahu diri dihimpit dengan kontroversi? Siapa yang mahu nama baik dipalit dengan kisah hitam yang akan dikenang sepanjang hidup?
Begitu juga halnya dengan pelakon yang dikenali dengan panggilan Anak Pontianak ini hasil kejayaannya berlakon dalam drama itu. Dirinya tak pernah lepas daripada kontroversi yang akhirnya membuatkan dia penat dengan apa yang telah berlaku.
Malah baru-baru ini terpampang mukanya di akhbar yang kononnya dia mengaku mengambil dadah dan akhirnya menyebabkan nama baik yang cuba dibina seakan musnah angkara peristiwa yang berlaku di Sepang, Selangor itu.
Dalam kejadian pada 12 Februari lepas, Zarina ditahan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam satu operasi berhampiran Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) dan disahkan positif dadah selepas menjalani saringan ujian air kencing.
Bagaimanapun, keputusan ujian patologi dan pengesahan doktor perubatan diperlukan untuk mengetahui sama ada dia benar-benar positif atau tidak.
Malu. Siapa yang tak malu melihat wajah sendiri keluar akhbar dek penangan najis dadah itu. Sepanjang tempoh itu, Zarina langsung menghilangkan diri walaupun ramai yang cuba mencarinya untuk mengorek cerita sensasi.
Namun pada 30 April yang lalu, ujian air kencingnya menunjukkan dia negatif daripada mengambil dadah seterusnya dibebaskan tanpa sebarang tindakan lanjut oleh mana-mana pihak.
Bersyukur dengan keadaan yang berlaku, Zarina cuba sedaya upaya untuk menjernihkan apa yang telah berlaku dan dia juga bersedia mendedahkan apa yang dilakukan sepanjang menyepikan diri selepas peristiwa berkenaan.
Tahu tak bersalah
Bagi Zarina, keputusan 'pembebasan' itu sudah diketahui memandangkan dia memang mengaku tidak mengambil apa-apa jenis dadah semasa ditahan.
Cuma apa yang dikesali olehnya apabila banyak berita tidak tepat semasa peristiwa itu dihebahkan oleh pihak media yang menimbulkan kekeliruan.
"Ada yang kata saya direman dan bapa saya terpaksa membayar wang jaminan sebanyak RM5,000. Mana ada semua itu berlaku? Selepas semuanya selesai saya terus pulang.
"Memang situasi pada masa itu agak kelam kabut. Bila nampak muka saya ditahan semua orang terus mengejar saya walaupun pada awalnya saya tahu saya tak melakukan apa-apa kesalahan.
"Kenapa nak buat saya macam tu? Adakah kerana saya artis. Dan yang menjadi mangsa pada itu adalah saya.
"Saya tak nak ungkit semua cerita lalu. Bagi saya semua orang nak buat kerja. Awak buat kerja awak dan saya buat kerja saya. Lagipun semuanya dah selesai dan saya ambil iktibar apa yang telah berlaku," katanya ketika sesi fotografi dengan Pancaindera minggu lalu.
Walaupun terus dihimpit dengan cerita-cerita panas, Zarina tidak pernah menyesal dengan apa yang telah berlaku, sebaliknya dia menganggapnya sebagai pengajaran untuk mematangkan diri.
Tanpa berselindung, dia mengakui yang keluarga dan peminatnya merupakan pihak yang paling banyak memberikan dorongan dan nasihat untuknya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan.
Jelasnya, sepanjang menunggu keputusan air kencingnya dia banyak muhasabah diri dan mencari kekurangan diri untuk diperbaiki.
"Saya sering bertanya di mana silap saya. Saya akui kontroversi. saya memang sukar untuk dipisahkan dengan kontroversi. Ia bagaikan sebati dalam diri walau pun itu bukan tujuan saya sebenarnya," ujarnya lagi.
Jadi diri sendiri
Apabila bergelar orang terkenal semuanya diperhatikan. Walaupun ada kalanya kurang selesa dengan perhatian yang diberikan orang, tapi apa yang boleh dilakukan.
Zarina juga telah merasainya. Semua privasi yang dinikmati sebelum ini seakan punah apabila ramai yang cuba mencari kesalahannya. Ada sahaja tindakannya yang tidak disukai orang.
Enggan mengungkit apa yang telah berlaku, dia optimis yang dia tidak perlu plastik dan hanya berbuat baik di hadapan orang demi menjaga hati mereka.
"Saya memang suka berpakaian seksi dan mengamalkan cara hidup yang moden. Jadi, rasanya tak perlu untuk saya terus menjadi baik semata-mata mahu mengaburi mata orang.
"Ini bukan saya. Kalau saya pakai baju seksi dan orang tangkap seterusnya sebarkan, itu mendatangkan kontroversi. Kalau saya makan dekat kedai mamak sekalipun, orang boleh jadikan isu untuk memanaskan keadaan.
"Saya dah letih dengan semuanya. Saya tahu ada yang kurang senang dengan penampilan saya dan sebagainya. Tapi sebagai manusia biasa saya tak dapat nak memuaskan hati semua pihak.
"Untuk apa saya jadi hipokrit? Akhirnya saya juga yang terkena balik. Cukup-cukup dengan apa yang telah berlaku kepada saya selama ini," tegasnya.
Sebagai orang yang dikenali, Zarina juga menjadi milik masyarakat. Apa yang dilakukan pasti ada mata yang melihat dan mencontohinya. Malah tak kurang juga ahli masyarakat yang menjadikan golongan artis sebagai ikon mereka.
Betah Zarina, orang boleh melihat dirinya tapi dalam masa yang sama mereka juga perlu menggunakan akal untuk menilai mana yang baik dan mana yang buruk.
"Saya sedar golongan artis sering dijadikan contoh. Mudah sahaja sebenarnya. Mana yang baik boleh dijadikan contoh. Mana yang buruk jangan diikut.
"Saya juga tak mahu dilabel sebagai perosak kepada masyarakat. Jangan cuba nak menuding jari kalau ada yang tersasar dari jalan yang dilalui. Saya bukan idola seperti artis yang lain kerana masih banyak kelemahan diri yang perlu saya perbaiki," katanya.
Diganggu suami orang
Bercerita mengenai hal peribadi, gadis yang dibesarkan di Kuala Lumpur ini ternyata kurang senang dengan cerita peribadi. Dia seboleh-bolehnya tidak mahu mendedahkan siapakah jejaka yang berjaya menawan hatinya itu.
Walaupun perhubungan yang dibina masih terlalu awal untuk ditafsirkan, jelas terpancar keceriaan di wajahnya yang dia benar-benar bahagia menyulam cinta dengan jejaka itu.
Namun ketika rancak berbicara, dia akhirnya membuka mulut yang dia sudah tidak tahan diganggu suami seorang selebriti terkenal.
Terlopong juga mulut apabila mengetahui siapakah gerangan artis popular yang sering kali mengganggu dirinya sehinggakan pada satu tahap dia rasa ingin mendedahkan sahaja gerangan pelakon itu.
"Pelakon itu sering menghantar mesej yang bukan-bukan. Dia juga sering kali cuba menjalinkan hubungan dengan saya melalui SMS yang dikirimkan.
"Tolonglah... Saya bukan perempuan jenis itu. Dia sudah ada isteri dan tak kasihan pada isteri yang begitu mempercayai suaminya itu tak curang. Kalau saya dedahkan siapa, pasti ada yang melompat pula.
"Tapi bukan niat saya nak meruntuhkan rumah tangga orang. Saya masih lagi menyimpan SMS yang dikirimkan dan kalau keadaan memaksa saya tak keberatan untuk mendedahkan.
"Nanti kalau rumah tangga yang dibina berkecai, saya juga yang dipersalahkan. Saya tak mahu menjadi punca," tegasnya.
Seksi dan berani mati. Mungkin itu yang menjadi punca ramai lelaki hidung belang cuba test market kepada dirinya. Namun akhirnya hampa.
Bagi Zarina dia seperti sudah lali dengan keadaan yang berlaku dan langsung tak kisah dengan perangai sesetengah lelaki yang hanya mahukan keseronokan.
"Saya mahu mengubah diri kepada yang lebih baik. Saya tak mahu berterusan sebegini dan sangat berharap peminat terus menyokong saya,"klik sini
Home »
» Dunia Artis:kontroversi Zarina An Julie
Dunia Artis:kontroversi Zarina An Julie
Written By canang on Ahad, 4 April 2010 | 4/04/2010 03:18:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan