Insiden Mawi di‘boo’ oleh peminat ketika menghadiri Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2009 pada 4 April lalu masih lagi segar di ingatan. Siapa sangka juara program realiti yang dahulunya dipuja dan digilai ramai tiba-tiba menjadi mangsa ‘boo’ dalam satu acara yang dihadiri oleh ramai penggiat seni.
Perkara ini bukan sahaja memeranjatkan orang-orang yang berada di sekeliling Mawi, tetapi ia membuatkan pemilik nama Asmawi Ani ini bertanya kepada diri sendiri. “Apakah kesalahan yang telah aku lakukan sehingga ramai yang mula membenci?” Rentetan daripada insiden itu, Mawi telah pun meluahkan perasaannya kepada beberapa media apabila diminta mengulas terhadap insiden memalukan itu. Menurut anak kelahiran Felda Taid Andak ini, dia terkilan dengan apa yang terjadi dan kalau boleh ingin tahu apa kesalahannya sehingga peminat tergamak mengejeknya sebegitu.
Pertemuan dengan Mawi di sidang media AIM baru-baru ini memberi peluang kepada GUA untuk bertanya kepada Mawi sama ada dia telah menemui jawapan kepada persoalan di atas. Menurut rakan duet M. Nasir ini, sehingga kini dia masih tidak tahu sebab yang mencetuskan insiden itu. “Sejujurnya saya masih tidak tahu jawapannya. Kalau betul pun kesalahan itu terletak di bahu saya, tidak perlulah ‘boo’. Kita datang ke majlis itu adalah untuk memeriahkan majlis, bukan untuk merosakkan atau memalukan orang. Selain itu saya juga berasa terkilan dan sedih kerana perkara ini memberi gambaran negatif kepada industri hiburan tanah air. Mudah-mudahan ia tidak akan berulang lagi,” ulas Mawi.
Ditanya adakah dia bersetuju dengan pendapat yang mengatakan dia sudah tidak sepopular dulu dan sedang mengalami zaman kejatuhan, Mawi menolak pendapat itu. “Saya tidak rasa ini zaman kejatuhan saya. Saya percaya masih ramai lagi yang menyokong karier nyanyian saya. Mungkin saya tidak sepopular dulu, tapi ini bukan bermakna saya sedang jatuh. Tapi, sekarang ini ramai artis baru yang muncul. Faktor ini sedikit sebanyak menyumbang kepada masalah yang sedang saya hadapi. Malah, bukan hanya kepada saya, tetapi kepada ramai penyanyi lain juga,” komen Mawi.
Bercakap tentang zaman kejatuhan ini, saya sebenarnya sudah bersedia dengan perkara ini. Saya tidak takut berada di bawah kerana sebelum ini saya pernah berada di bawah. Saya percaya dengan usaha yang gigih, kita boleh bangun dan mencipta kejayaan lagi. Kita perlu ingat, hidup ini umpama roda, kadang kala kita berada di atas dan kadang kala kita akan berada di bawah. Saya perlu terima kenyataan ini kerana ia adalah lumrah kehidupan,” ujar Mawi yang mengakui kisah-kisah peribadinya sedikit-sebanyak memberi kesan sampingan kepada popularitinya.
Fokus pada penerbitan
Kenyataan yang diberi oleh Mawi ini jelas menunjukkan Mawi masih belum patah semangat. Ternyata jutawan segera ini semakin bijak mengurus krisis dalam kerjayanya. Mungkin atas sebab itulah Mawi mula berjinak-jinak dengan penerbitan drama dan telefilem. Bukan kerana merajuk dengan nyanyian tetapi menurut Mawi ini pelaburannya untuk masa depan. Telemovie bertajuk ‘Jiwa Kacau’ yang bersiaran di saluran Astro pada 11 April lalu adalah produk yang dihasilkan oleh produksi miliknya, MW Entertainment Sdn Bhd.
“Saya melangkah ke bidang produksi ini bukan kerana saya tidak yakin atau merajuk dengan kerjaya nyanyian saya, tetapi saya melihat bidang penerbitan ini sebagai sesuatu yang mampu memberi pulangan besar. Kiranya ini adalah pelaburan untuk masa depan saya. Jadi, jangan salah anggap. Saya masih akan menyanyi. Sekarang saya sedang mencari lagu yang sesuai untuk dijadikan single terbaru. Tahun ini saya akan lebih produktif memandangkan tahun lepas tidak banyak yang saya lakukan. Selain muncul dengan single terbaru, saya juga merancang untuk hasilkan lebih banyak drama dan telemovie. Saya akan cuba bekerjasama dengan ramai pengarah untuk hasilkan karya yang bagus-bagus.
Tentang filem, saya masih lagi sedang memikirkannya. Mungkin ada, mungkin tidak. Kita tengoklah macamana nanti,” komen Mawi yang tidak bercadang memberi peluang kepada Ekin untuk berlakon dalam produksi miliknya itu.
Home »
» Dunia Artis:"Saya Belum Jatuh"-Mawi
Dunia Artis:"Saya Belum Jatuh"-Mawi
Written By canang on Isnin, 19 April 2010 | 4/19/2010 11:59:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

1 ulasan:
Semoga Mawi tabah menghadapi cabaran. Sudah adat manusia. Pujian melangit masa di puncak. Bila dah tak suka rasanya bagai nak pijak. Sedangkan kejayaan anak Felda ini memberikan inspirasi kepada orang lain supaya serious dengan hobi yang boleh dijadikan profession bukan setakat menguntungkan tokeh-tokeh Cbox atau berlagak di pentas-pentas karaoke.
Catat Ulasan