Home » » Ezlyn Kini Bertongkat

Ezlyn Kini Bertongkat

Written By canang on Khamis, 15 April 2010 | 4/15/2010 11:59:00 PTG

Setelah agak lama tidak mendengar khabar berita daripada penyanyi yang ligat di pentas ini, tiba-tiba Ezlyn mengejutkan ramai pihak apabila dia tampil berjalan menggunakan tongkat di majlis pra-dengar tujuh single terbaru artis-artis yang bernaung di bawah Alibi Music Sdn Bhd.

Apakah sebenarnya yang terjadi kepada Ezyln? Adakah dia sekadar buat gimik untuk single terbarunya ‘Tic Tac Toe’, atau dia benar-benar dilanda musibah? Untuk mendapatkan kepastian, Ezlyn diminta berkongsi cerita tentang penampilan terbarunya itu. Menurut penyanyi yang pernah berduet dengan Datuk M. Daud Kilau ini, dia bukan hendak buat gimik, tetapi terpaksa menggunakan tongkat kerana dua bulan yang lalu dia mengalami kemalangan di rumah sendiri.

“Saya terjatuh ketika hendak naik tangga di rumah. Tidak tahulah macamana perkara ini boleh berlaku, sedangkan saya sudah beratus kali naik turun tangga itu. Tapi itulah, kalau perkara memang sudah hendak jadi, memang tak boleh elak,” ujar Ezyln. Mengimbas detik-detik cemas itu, Ezlyn memberitahu sebaik sahaja dia terjatuh, dia cuba bangun tetapi kakinya terasa cukup sakit. Risau dengan keadaan kakinya, Ezlyn telah menghubungi rakannya untuk ke klinik.

“Mula-mula doktor kata kaki saya tidak mengalami kecederaan serius tetapi dia suruh buat x-ray untuk langkah berjaga-jaga. Selepas melihat x-ray itu barulah nampak kecederaan sebenar. Kaki saya patah. Jadi mahu tidak mahu, saya terpaksa gunakan kerusi roda selama sebulan kerana kaki sudah berbalut simen.

Ingatkan selepas balutan kaki dibuka saya akan pulih seperti biasa, tetapi lain pula masalah yang timbul, jari kaki saya menjadi semakin senget. Akibatnya, saya perlu jalani satu pembedahan kecil untuk membetulkan struktur tulang. Dalam pembedahan itu, doktor telah masukkan tiga batang skru ke dalam kaki saya. Sekarang ini saya kenalah gunakan tongkat untuk bergerak. Ini pun, baru dua tiga hari saya dapat berjalan macam ini,” jelas Ezyln lagi yang terpaksa berbaring selama seminggu selepas pembedahan itu. Sepanjang tempoh berehat di rumah Ezyln hanya mengisi masa terluang dengan menjawab emel dan pesanan-pesanan yang dikirim oleh rakan-rakan di laman sosial Facebook miliknya.

“Sebelum ini saya memang sibuk dan tidak ada masa untuk menjawab semua mesej dalam inbox, tapi bila dah kena duduk di rumah, saya ambil peluang untuk buat semua itu. Seronok juga dapat melayan Facebook ini,” cerita Ezyln lagi. Walaupun ada keseronokannya duduk di rumah, tetapi dalam masa yang sama Ezlyn berasa sedikit kecewa kerana terpaksa melepaskan banyak tawaran kerja sepanjang tempoh dua bulan ini. Mengikut perkiraannya, setakat ini dia telah kerugian kira-kira RM40,000 untuk semua tawaran yang terpaksa ditolak.
“Selain itu, berat badan saya juga semakin naik. Dalam masa dua bulan saja, berat badan saya naik tiga ke empat kilogram. Maklumlah tidak buat apa-apa.”

Tic Tac Toe
Beralih kepada single terbarunya, Tic Tac Toe, Ezyln memberitahu pertama kali dia mendengar lagu ini dia sudah jatuh cinta dan ingin menjadikannya sebagai single terbaru.

‘Apabila saya dapat tahu Noh Hujan yang buat lagu ini, saya jadi lebih teruja. Saya memang berkawan dengan Noh. Saya fikir, inilah masanya untuk saya dan Noh bekerjasama. Saya suka dengan lagu ini sebab ia berentak rancak dan memang kena dengan diri saya,” ulas Ezlyn.

Satu fakta menarik tentang lagu ini ialah, lagu ini merupakan ciptaan pertama Noh di luar kumpulan Hujan. Malah, Noh juga mengakui lagu ini adalah karya terbaiknya sepanjang tempoh dia mencipta lagu.

Sebagai makluman, Ezlyn telah pun bernaung di bawah Alibi Music sejak Disember tahun lalu. Menurut Ezyln, dia memilih Alibi Music kerana label itu memberikan kebebasan untuknya memilih genre muzik yang dikehendaki di samping tertarik dengan promosi dah pemasaran yang dibuat oleh syarikat rakaman tersebut.

Ezyln juga akan muncul dalam filem ‘Adik Manja’ yang akan berada di pawagam dalam sedikit masa lagi.


Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger