Home » » Fara Fauzana Di Puncak Populariti

Fara Fauzana Di Puncak Populariti

Written By canang on Rabu, 21 April 2010 | 4/21/2010 11:59:00 PTG

Kini siapa yang tidak kenal dengan penyampai radio, pelakon serta pengacara popular Fara Fauzana? Keletahnya yang bersahaja, ramah serta mudah mesra dengan sesiapa sahaja menjadikannya sebagai pengacara televisyen wanita serta penyampai radio wanita paling popular untuk beberapa tahun berturut-turut.

Pencapaiannya kini bolehlah diibaratkan sebagai berada di puncak populariti. Sudah menjadi lumrah, bukan semua pihak senang dengan kejayaan yang dikecapi oleh wanita berwawasan besar ini.

Namun sebagai seorang selebriti yang sudah sekian lama bertapak di dalam industri seni, Fara tidak pernah mengambil hirau dengan kata-kata orang. Katanya, apa yang penting diri serta keluarga tahu apa yang dilakukannya.

Fara sekarang boleh dikatakan berada di puncak populariti. Dengan pelbagai kejayaan serta anugerah yang Fara miliki, nampaknya kedudukan Farah sukar untuk digugat. Apa komen Fara?
Sebenarnya saya masih Fara yang dulu. Saya berterima kasih kepada para peminat yang banyak memberikan sokongan serta keluarga yang memahami kerjaya saya.

Pada saya apa yang penting di dalam bidang ini ialah kita perlu ikhlas dengan apa yang kita lakukan. Tentang populariti pula, saya percaya ianya akan datang dengan sendiri apabila kita ikhlas dan melakukan semua kerja sebaik mungkin. Ini kerana peminat sekarang sudah pandai menilai. Mereka mahukan sesuatu yang terbaik serta memberikan manfaat kepada mereka.

Ada orang yang cakap, populariti Fara sedikit sebanyak menenggelamkan wajah-wajah penyampai radio Hot FM yang lain. Fara bersetuju dengan pendapat tersebut atau Fara ada pendapat lain?
Siapa yang cakap macam tu? Pada saya ini merupakan isu yang sudah lama dan di Hot FM, kami semua dilayan sama rata. Sebelum ini saya pernah dengar isu mengenai anak emas dan sebagainya.

Itu semua tidak betul. Buktinya saya pada hari Sabtu pun kena bekerja. Sama seperti penyampai-penyampai Hot FM yang lain. Cuma apa yang boleh saya katakan, setiap penyampai di Hot FM mempunyai peminat mereka yang tersendiri. Ini dapat dilihat berdasarkan rating program masing-masing.

Cuma secara kebetulan saya bersiaran pada waktu pagi bersama Faizal Ismail dan kebanyakan orang mendengar radio ketika di dalam perjalanan pergi ke tempat kerja ketika itu. Itulah yang mungkin menyebabkan saya kelihatan menonjol daripada orang lain. Kepada mereka yang mendengar radio pada waktu tengahari atau petang pula, sama juga situasinya.

Wajah Fara di mana-mana. Apa komen Fara.
Sebenarnya perkara ini berlaku secara kebetulan. Ini kerana saya menjadi pengacara program 'Melodi' dan sekarang mengacarakan program 'Alahai Fafau'. Tapi konsep kedua-dua rancangan tersebut berbeza dan tiada persamaan.

'Melodi' lebih kepada hiburan sementara 'Alahai Fafau' lebih kepada mengenai diri saya dan isu-isu terkini yang berlaku di persekitaran kita. Malah melalui 'Alahai Fafau' saya berpeluang mendekati pelbagai lapisan masyarakat semasa proses penggambaran dilakukan.

Saya turut berpeluang melakukan banyak pengembaraan dan aktiviti lasak yang sebelum ini jarang dapat saya buat. Ini kerana 'Alahai Fafau' akan melakukan penggambaran di dalam dan di luar studio untuk memberikan kelainan kepada penonton.

Pada saya ini semua adalah hasil kerja keras dan juga sokongan peminat yang tidak henti-henti memberikan sokongan. Apa yang boleh saya harapkan, sokongan peminat akan berterusan sampai bila-bila.

Selain terlibat dengan 'Melodi' dan 'Alahai Fafau', apa projek terbaru Fara? Mungkin ada drama atau filem baru dalam masa terdekat?
Buat masa ini saya hanya terlibat dengan program 'Melodi' dan 'Alahai Fafau'. Apapun sebagai penyampai radio, fokus utama saya tentulah Hot FM. Ini kerana saya mahu memberikan tumpuan sepenuhnya kepada program-program yang saya kendalikan.

Bukan tiada tawaran berlakon, cuma buat masa ini saya mahu fokus dengan kerjaya utama saya. Malah saya juga tidak menerbitkan sebarang drama bersama kawan baik saya, Darling Ngasri pada tahun ini.

Sebelum ini memang ada perancangan untuk meneruskan kesinambungan drama bersiri 'Gadis Cuci'. Tapi buat masa ini semua pelakon yang terlibat di dalam drama tersebut mempunyai beberapa komitmen yang lain.

Kalau boleh kami mahu mengekalkan pelakon yang sama untuk musim terbaru kelak. Kalau tiada sebarang masalah, mungkin pada tahun depan 'Gadis Cuci' akan menemui penonton semula. Tetapi itu semua bergantung kepada keadaan.

Fara ini boleh dikatakan berjaya di dalam kerjaya seni Fara. Jadi bagaimana pula dengan perancangan masa depan Fara? Maksudnya bila agaknya Fara mahu mengakhiri zaman bujang Fara?
Ini mesti soalan wajib yang perlu ditanya (sambil ketawa). Saya sendiri tak boleh nak kata bila, semuanya bergantung kepada jodoh. Kalau ada ... adalah. Saya akui memang ada ramai kawan lelaki, tetapi seperti yang saya kata tadi, semuanya bergantung kepada jodoh.

Ini bukan bermakna saya tidak langsung memikirkannya, namun saya sekarang sudah berumur 28 tahun dan rasanya sudah bersedia untuk menamatkan zaman bujang. Cuma belum ada rezeki dan mungkin juga belum sampai masanya.



Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger