KUALA TERENGGANU: Pada zaman lampau, keris menjadi senjata utama untuk mempertahankan diri, selain dianggap lambang kekuatan dan kemasyhuran masyarakat Melayu.
Bagaimanapun, pada zaman serba moden ini, peranan keris bukan lagi sebagai senjata mempertahankan diri, sebaliknya sangat mengecewakan apabila ia disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab untuk pemujaan bagi mendapatkan nombor ekor.
Lebih mendukacitakan, kebanyakan yang terbabit dalam pemujaan nombor ekor ini adalah warga tua berusia 55 tahun ke atas yang sepatutnya memanfaatkan kesempatan hidup yang ada dengan amal ibadat ketika usia meniti senja. Pendedahan ini dilakukan penjual keris lama, Saidah Osman, 41, dari bandar raya ini yang kecewa dengan fenomena tidak sihat ini, selepas melihat golongan Melayu beragama Islam mempercayai kaedah memuja nombor ekor menggunakan keris.
"Kebanyakan yang membeli keris adalah Melayu. Saya jual keris ini dengan harga RM200 sebilah bergantung kepada usia sebenar keris itu. Walaupun saya meletakkan harga tinggi, permintaan pembeli sangat menggalakkan," katanya.
"Dulu saya pernah menjual satu keris berusia ratusan tahun dengan harga RM500 saja. Namun, saya menyesal sebaik mendengar berita pelanggan saya itu menjual kepada orang lain dengan harga lebih RM3,000 untuk digunakan dalam kegiatan memuja nombor ekor," katanya.
Saidah juga mendedahkan, kebanyakan pembelinya akan datang bersama seorang gadis atau janda yang kemudian akan dibawa berjumpa bomoh selepas membeli keris, bagi tujuan pemujaan nombor ekor.
"Saya ada merisik kepada pelanggan mengapa mereka membawa anak dara atau janda datang bersama dan terkejut apabila diberitahu wanita itu akan 'digunakan' dalam proses pemujaan nombor ekor.
"Mereka kata, keris itu akan dibalut dengan kain kuning, diasapkan dengan kemenyan dan diletakkan di atas kemaluan perempuan itu.
Saya mengucap panjang apabila diberitahu, nombor ekor itu akan muncul di tengah kemaluan perempuan dan esoknya nombor berkenaan menang.
"Tidak hairanlah permintaan terhadap keris lama sangat tinggi kebelakangan ini. Mungkin kerana ia mujarab, maka ramai yang menjadikan cara itu sebagai 'pembuka rezeki' mereka. Tetapi, sebagai peniaga keris lama, saya kesal kerana senjata lama ini disalahgunakan sehingga melanggar hukum agama," katanya.
Saidah berkata, dia sendiri pernah ditawarkan ribuan ringgit untuk melakukan pemujaan nombor ekor itu, tetapi bersyukur kerana tidak terpedaya dengan tawaran wang yang banyak, apatah lagi masih tahu hukum agama.
Sementara itu, Edisi Timur turut menghubungi seorang gadis yang sanggup mengorbankan dirinya untuk digunakan pada upacara pemujaan nombor ekor dan dia yang tidak mahu dikenali berkata, dia dibayar RM1,000 setiap kali 'menyerahkan' dirinya.
"Saya hanya bekerja di kedai makan dengan gaji tidak seberapa. Saya terpaksa melakukan kerja ini demi menyara keluarga. Walaupun saya tahu apa yang dilakukan ini salah di sisi agama, tetapi saya tiada pilihan lain," katanya yang tidak mahu bercerita lanjut mengenai kegiatan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
segala komen akan diterbitkan,pihak pengurusn tidak akan bertanggungjawab atas ulasan yang menyalahi udang-undang penerbitan.