Pelajar kolej cuba lari ikut tingkap rumah teman wanita
KUALA LUMPUR: Hanya kerana mahu mengelak ditangkap berkhalwat, seorang pemuda terbunuh selepas terjatuh dari rumah sewa teman wanitanya di tingkat lima Apartmen Jelutong, Selayang Heights, di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.40 pagi itu, mangsa yang berusia 21 tahun dan masih menuntut di Kolej Komuniti Selayang dikatakan cuba mengelak ditahan dengan melarikan diri melalui tingkap sebaik pintu rumah diketuk sepasukan pegawai pencegah maksiat dari Jabatan Agama Islam Selangor (Jais). Bagaimanapun, pemuda itu dipercayai tergelincir ketika cuba meniti tembok luar bangunan yang licin sebelum terjatuh dan mayatnya ditemui terperosok dalam longkang di tingkat bawah pangsapuri berkenaan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Rosly Hassan, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pelajar terbabit mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan.
“Berdasarkan keterangan pegawai (Jais) terbabit, mereka melakukan serbuan ke rumah itu selepas mendapat maklumat ada aktiviti maksiat di situ. Bagaimanapun, ketika mengetuk pintu rumah berkenaan, mereka terdengar bunyi seperti objek jatuh.
“Pintu kemudian dibuka seorang gadis Melayu, dipercayai teman wanita mangsa dan didapati tingkap rumah itu terbuka. Curiga dengan keadaan itu, pegawai terbabit memeriksa ke luar tingkap dan mendapati ada seorang lelaki terperosok dalam longkang,” katanya.
Katanya, hasil siasatan polis mendapati tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan sudah dituntut warisnya untuk dikebumikan.
Katanya, teman wanita mangsa yang turut menuntut di kolej sama kini ditahan oleh Jais untuk siasatan.
Home »
» Maut jatuh apartmen elak ditangkap khalwat
Maut jatuh apartmen elak ditangkap khalwat
Written By canang on Ahad, 25 April 2010 | 4/25/2010 07:05:00 PG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan