Home »
» Permohonan cerai Zakiah Anas dirujuk Jawatankuasa Pendamai
Permohonan cerai Zakiah Anas dirujuk Jawatankuasa Pendamai
Written By canang on Khamis, 29 April 2010 | 4/29/2010 10:00:00 PG
Zakiah Anas di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, semalam.
PETALING JAYA 28 April - Permohonan cerai secara baik pengacara televisyen, Zakiah Anas dan suaminya, Mohamad Yusof @ Mohamed Yusof Taib akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pendamai.
Hakim Syarie, Ghazali Ahmad memutuskan demikian selepas suami pengacara itu tidak bersetuju dengan permohonan Zakiah ketika kes berkenaan disebut di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini.
Zakiah hanya memandang suaminya ketika lelaki berkenaan memaklumkan perkara tersebut.
Pada prosiding hari ini juga, hakim syarie mengarahkan pasangan tersebut melantik wakil masing-masing yang akan menganggotai jawatankuasa tersebut.
Jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh seorang pegawai dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan akan bertanggungjawab untuk mengadakan rundingan serta perbincangan bagi mencari jalan perdamaian antara kedua-dua pihak.
Kes itu akan disebut semula pada 9 Jun ini.
Zakiah yang hadir dengan ditemani dua rakannya diwakili peguam syarie, Abdullah Anuar Sahri manakala Mohamad Yusof, seorang ahli perniagaan hadir tanpa peguam.
Dia juga enggan wajahnya dirakam oleh jurugambar sebaliknya meminta media mengambil gambar isterinya kerana 'dia (Zakiah) selebriti bukan saya'.
Permohonan untuk bercerai secara baik itu difailkan sendiri oleh personaliti TV3 itu pada Januari lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003.
Sebelum ini, Zakiah pernah memfailkan pengesahan permohonan cerai secara fasakh sebelum menukarnya kepada pengesahan lafaz taklik di Mahkamah Syariah Shah Alam tetapi menarik balik kes itu pada 1 September tahun lalu.
Zakiah dan suaminya berkahwin sejak 17 tahun lalu dan dikurniakan dua orang anak lelaki, Aiman Muzammil, 16, dan Amir Muzhaffar, 14.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan