Pekan Kuala Kubu Baru yang biasanya lenggang dan sunyi, awal pagi semalam dikejutkan dengan risalah-risalah separuh lucah yang bertaburan di jalan raya juga di tempat-tempat awam.
Tarikan utama dalam risalah tersebut ialah gambar Exco PKR Selangor, Elizabeth Wong (masih berstatus cik!) dalam aksi hangat dan menggiurkan. Inilah gambar kontroversi yang pernah menggemparkan seluruh negara kira-kira setahun lalu.
Turut dimuatkan dalam risalah tersebut, dan tidak kurang menarik, ialah gambar yang telah diubahsuai (doctored) menunjukkan Datuk Zaid Ibrahim dengan botol arak. Risalah tersebut disertakan dengan tulisan: “Kalau memilih pemimpin negeri, pertama elok, kedua pandai.”
Tidaklah diketahui siapa yang gatal tangan lagi berfikiran kuning menaburkan risalah tersebut. Apa yang jelas risalah itu bertujuan memberi gambaran tidak baik kepada Zaid, calon Pakatan Rakyat (PR) yang bertanding pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor.
Selain risalah separuh lucah itu penamaan calon di Dewan Serbaguna & Kompleks Sukan pekan itu semalam juga mendengar pekikan dan laungan lebih 10,000 penyokong kedua belah pihak yang cuba menonjolkan dan mengaitkan parti-parti calon bertanding dengan skandal dan maksiat.
Di satu pihak kedengaran jeritan-jeritan “Altantuya!”, “Chua Soi Lek!” yang semua orang tahu merujuk kepada kes pembunuhan wanita Mongolia yang dikaitkan dengan pemimpin negara, juga kes video skandal seks pemimpin MCA.
Pihak yang satu lagi pula menjerit dengan penuh semangat: “Parti liwat!”, “Tangkap Anwar!”, iaitu merujuk kepada tuduhan kes seks luar tabii ke atas pemimpin PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sekiranya risalah dan jeritan-jeritan tersebut hendak dijadikan kayu ukur, ternyata kedua pihak - BN dan PR - sama-sama ada kecacatan. Tetapi tidak semestinya kelucahan dan skandal demi skandal itu akan menjadi penentu di bilik mengundi nanti.
Sepatah kata Kadir Osman, 63, dari Ampang Pecah: “Orang kita sudah tidak kisah lagi tentang skandal, sebab zina, rasuah sudah jadi macam budaya. Lagi pun sudah terbukti orang berzina boleh menang juga!”
Dengan nada sinis dia menambah: “Kita sudah tidak ada lagi benda-benda baik yang hendak ditonjolkan, sebab itu dalam mana-mana kempen pun kita akan cari benda-benda busuk, kita sudah tidak ada parti yang baik...”
Dia tidak memilih parti, tetapi akan menumpukan perhatian pada calon: “Tidak kira parti mana, saya hanya akan pilih calon yang baik.”
Siapakah calon yang baik itu? BN akan mempertaruhkan P. Kamalanathan untuk merampas semula kerusi yang kosong berikutan kematian wakil rakyat PKR, Dr Zainal Abidin Ahmad 25 Mac lalu.
PR yang berazam sejak awal untuk mempertahankan kerusi itu meletakkan Zaid dari PKR. Dua calon bebas yang akan menyertai pertandingan empat penjuru itu ialah V.S Chandran, bekas Naib Pengerusi MIC Hulu Selangor, dan Johan Mohd Diah.
Pada pilihan raya umum ke-12 lalu Dr Zainal berjaya merampas kawasan tradisi BN sejak merdeka dulu, dengan menewaskan calon dari MIC, Datuk G Palanivel, dengan kelebihan hanya 198 undi.
Palanivel yang telah menjadi wakil di situ selama empat penggal akhirnya lemas dalam tsunami 2008 dengan memperoleh 22,979 berbanding lawannya yang mendapat 23,177 undi.
Walaupun ada empat calon yang disahkan bertanding, ramai bersetuju bahawa kerusi Hulu Selangor adalah rebutan antara Zaid, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, dengan Kamalanathan, Ketua Penerangan MIC.
Kelebihan mulanya berada di pihak Zaid apabila dikhabarkan MIC tidak akan merestui mana-mana calon selain Palanivel. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri mengakui betapa sukarnya untuk membuat pilihan walaupun setelah berunding dengan Presiden MIC, Datuk Seri Samy Vellu.
Bagaimana pun sebaik Kamalanathan diumumkan sebagai calon, Samy menegaskan seluruh anggota partinya akan menyokong sepenuh hati untuk memenangkan calon BN. Apa pilihan yang ada pada Samy selain memastikan calon bukan pilihannya menang!
Kalau calonnya kalah sekali lagi ia akan memberi gambaran buruk pada BN, lebih buruk lagi pada MIC, dan terburuk pada Samy sendiri. Orang-orang MIC tidak boleh mensabotaj pilihan raya kecil ini.
Zaid sendiri mengakui dia menghadapi calon yang bukan calang-calang. Walaupun sebahagian besar (54 peratus) daripada 64,500 pengundi berdaftar adalah Melayu, majoriti 198 sebelum ini menunjukkan undi Melayu tidak boleh menjadi faktor penentu, lebih-lebih lagi dalam pilihan raya kecil yang pastinya akan melihat semua ‘meriam besar’ BN turun berkempen sepanjang seminggu ini.
Mungkin isu-isu skandal dan penyelewengan seperti yang dijerit dan disebarkan semasa penamaan calon semalam tidak banyak memberi kesan dalam mempengaruhi pengundi. Tetapi perkembangan terkini dalam PKR sendiri dengan ramai wakil rakyatnya keluar parti – terakhir ADUN Bakar Arang Tan Wei Shu – mungkin membuat pengundi, khasnya Melayu, mula berfikir dan bertanya apakah PKR masih relevan?
Inilah yang perlu dijelaskan oleh pemimpin-pemimpin PR, termasuk Anwar, Datuk Seri Hadi Awang, dan Lim Kit Siang, dalam kempen-kempen sepanjang tujuh hari ini untuk memastikan Parlimen Hulu Selangor terus menjadi milik mereka pada malam 25 April nanti.Sinar Harian
- TOK PERAK
Home »
» Risalah separuh lucah Elizabeth Wong bertaburan di jalan raya juga di tempat-tempat awam dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab
Risalah separuh lucah Elizabeth Wong bertaburan di jalan raya juga di tempat-tempat awam dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab
Written By canang on Ahad, 18 April 2010 | 4/18/2010 08:30:00 PTG
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan