Home » » SPR Jangka 80 Peratus Keluar Buang Undi

SPR Jangka 80 Peratus Keluar Buang Undi

Written By canang on Sabtu, 24 April 2010 | 4/24/2010 10:58:00 PTG


KUALA KUBU BARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan kira-kira 80 peratus jumlah pengundi akan keluar membuang undi pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor yang akan berlangsung esok.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, jangkaan itu meningkat lima peratus berbanding jumlah keluar mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu.

"Peratus keluar mengundi kita jangka akan lebih sedikit kerana pada PRU-12 peratus keluar mengundi ialah 75.24 peratus...jadi kali inikita jangka lebih iaitu 80 peratus," katanya pada sidang media di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor di sini hari ini.

Selain itu Abdul Aziz berkata, pihaknya turut menjangkakan keputusan pilihan raya kecil itu akan dapat diketahui selewat-lewatnya pada pukul 9 malam.

"Jika semuanya berjalan baik, urusan pengiraan undi berjalan lancar... ia tak ada masalah.

"Sebagai contoh di peti undi Bukit Fraser hanya ada 65 pengundi, jadi kalau ikut jumlah itu sekitar pukul 6 petang dah siap... cuma masalah untuk bawa turun ke tempat penjumlahan undi mungkin ambil masa sebab jauh," katanya.

Menurutnya jika wujudnya proses pengiraan semula, ia akan diadakan di peringkat saluran daerah mengundi sebelum dibawa ke pusat penjumlahan undi.

Proses pembuangan undi akan dibuka pada pukul 8 pagi dan ditutup pada pukul 5 petang.

Kerusi Hulu Selangor meliputi tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Hulu Bernam, Kuala Kubu Baharu dan Batang Kali, yang ketiga-tiganya diwakili BN.Kawasan Parlimen itu mempunyai 64,500 pengundi termasuk 799 pengundi pos.

Daripada jumlah itu 34,020 pengundi atau 52.7 peratus adalah pengundi Melayu, 16,964 pengundi atau 26.3 peratus adalah pengundi Cina dan 12,453 pengundi atau 19.3 peratus adalah pengundi India selain terdapat 1,000 pengundi Orang Asli.

Dalam pada itu, SPR memberi amaran keras agar parti-parti politik tidak menyediakan barung atau pondok panas berhampiran pusat mengundi.

"Pada hari mengundi kita tak benar sama sekali buka pondok panas, jika dirikan juga kita akan pastikan ia akan dirobohkan... pihak polis dan pihak berkuasa tempatan akan bantu kita laksanakannya.

"SPR amat tegas dalam hal ini, walaupun meja menyemak kita tak akan benarkan... sebaliknya SPR sendiri memang sediakan kaunter semakan untuk memudahkan pengundi membuat semakan," katanya.

Selain itu, Abdul Aziz juga mengingatkan supaya semua parti-parti politik yang bertanding supaya menghentikan proses berkempen bermula pukul 12 tengah malam ini.

"Ingin diingatkan juga supaya mana-mana parti yang menang, kita tak benarkan mereka buat upacara meraikan kemenangan sebaik sahaja keputusan diumumkan," katanya.




Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger