Home » » Vanidah Imran: Gosip? Tak Jadi Kudis!

Vanidah Imran: Gosip? Tak Jadi Kudis!

Written By canang on Ahad, 25 April 2010 | 4/25/2010 12:18:00 PG

Vanidah Imran memang amat sinonim di dalam dunia seni lakonan tempatan. Dia seorang pelakon wanita yang hebat dan mampu menjayakan apa sahaja watak yang diberikan kepadanya dengan berkesan.

Namun bergelar seorang selebriti tidak semudah yang disangka. Ada sahaja halangan yang perlu dilaluinya terutama gosip yang tidak pernah puas menghambatnya. Lebih senang mengambil keputusan mendiamkan diri, isteri kepada pelakon Rashidi Ishak ini tidak mudah melatah.

"Selagi nama saya tidak dinyatakan atau disebut di dalam mana-mana gosip, saya tidak pernah ambil kisah. Sebab saya tahu ianya bukan mengenai diri saya. Siapa yang makan cili, dia yang akan terasa pedas.

"Pada saya gosip langsung tak jadi kudis. Kalau ada gosip yang mengatakan rumahtangga pasangan selebriti bermasalah, saya tak nafikan nama saya pernah dikaitkan.

"Namun itu bukan gosip mengenai rumahtangga saya dan sehingga kini saya bahagia di samping suami dan anak-anak. Malah jadual kerjaya suami saya juga, saya yang susun," katanya yang lebih senang bercerita mengenai kerjaya seninya berbanding perkara remeh-temeh yang belum terbukti kebenarannya.

Ke London demi 'Isabella'
Bercerita tentang perkembangan terbaru kerjaya seninya, Vanidah yang lebih selesa disapa Vee memberitahu dia kini sibuk dengan penggambaran drama bersiri 26 episod, 'Isabella' yang bakal ditayangkan tidak lama lagi.

Bergandingan dengan aktor popular Rosyam Nor, Vee mengakui membawakan watak Isabella tidak mudah seperti yang disangka. Dia perlu banyak bermain dengan emosi dalaman kerana watak Isabella yang dilakonkannya merupakan seorang wanita yang hidup dalam keadaan trauma selepas kehilangan tunang tersayang.

"Saya membawakan watak Isabella yang kehilangan tunang tersayang dalam satu kemalangan tragik ketika di London. Kemalangan serta kematian tersebut membuatkan Isabella trauma dan terpaksa di masukkan ke hospital mental.

"Ketika di situ Isabella bertemu dengan Rosyam yang turut mengalami masalah trauma akibat kehilangan isteri yang sedang sarat mengandung juga kerana kemalangan. Kebetulan demi kebetulan yang menemukan mereka berdua di hospital tersebut secara tidak langsung melahirkan satu perasaan berbeza dalam hidup mereka," ujar Vee ceria.

Katanya untuk menjayakan watak Isabella dia akan ke kota London pada 6 Mei depan selama 10 hari. Mengakui penat melakonkan watak Isabella, namun sebagai pelakon dia puas kerana bakatnya teruji di dalam drama tersebut.

"Selepas sahaja habis penggambaran drama Isabella, saya akan terlibat dengan satu lagi drama bersama Rosyam untuk tayangan Hari Raya depan. Selepas drama tersebut selesai saya akan menjalani sesi latihan teater 'Cuci The Muzikal' yang akan dipentaskan pada bulan Julai depan di Istana Budaya pula," ujarnya yang baru sahaja selesai melakukan proses memasukkan suara untuk filem 'Jalan Lama' yang diarahkan oleh Afdlin Shauki.

Mengenai teater CUCI musim kedua, Vee menyatakan pengalaman terbabit di dalam musim pertama sedikit sebanyak membantunya untuk musim kedua itu. Namun dia tetap perlu bersungguh-sungguh menjalankan sesi latihan kerana CUCI musim kedua menampilkan dua orang pelakon lain iaitu Jaclyn Victor dan Nabil.

"Walaupun saya terlibat untuk musim pertama, tetapi ianya bukan mudah. Sebab saya perlu serasikan diri saya dengan pelakon lain di dalam teater tersebut. Apapun saya yakin dengan arahan pengarah serta kerjasama semua pihak, segalanya akan berjalan lancar," katanya yang sebelum ini pernah membintangi filem 'Setem' arahan Khabir Bhatia.


Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger