Home » » 5 dilucut pingat kebesaran Pemangku Raja Kelantan anggap penerima gagal jaga integriti

5 dilucut pingat kebesaran Pemangku Raja Kelantan anggap penerima gagal jaga integriti

Written By canang on Selasa, 25 Mei 2010 | 5/25/2010 09:00:00 PG

KOTA BHARU: Lima kenamaan negeri terdiri tiga bergelar Datuk dan dua Jaksa Pendamai (JP) dilucutkan pingat kebesaran masing-masing yang dikurniakan Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra.

Mereka yang dikenakan tindakan terbabit terdiri daripada tiga kakitangan kerajaan negeri yang masih berkhidmat di pusat pentadbiran Kota Darul Naim dan Balai Islam.
Dua lagi ahli perniagaan dikenakan tindakan sama pula terbabit dalam bidang pembinaan dan automobil.
Sumber berkata, semua individu terbabit dipercayai sudah atau akan menerima surat makluman mengenai perlucutan pingat kebesaran daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Kelantan dalam tempoh terdekat.

Katanya, tindakan itu diambil Pemangku Raja Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra, berikutan kegagalan individu berkenaan menjaga integriti sebagai penerima darjah kebesaran negeri ini seterusnya menjejaskan nama baik institusi Istana Kelantan.

Difahamkan, dua daripada individu terbabit juga berdepan perbicaraan di mahkamah selepas didakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dan rasuah.

Sebelum ini, tindakan melucutkan pingat kebesaran Kelantan bagi gelaran Datuk diambil Pemangku Raja terhadap empat individu yang terdiri daripada seorang ahli politik dan tiga ahli perniagaan.
Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, ketika dihubungi meminta perkara itu dirujuk kepada Setiausaha Kerajaan Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias yang bertanggungjawab mengenainya.

"Saya tidak dapat mengulas tindakan itu kerana ia adalah di bawah urusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri,” katanya.

Usaha mendapatkan komen daripada Mohd Aiseri tidak berhasil kerana menghadiri mesyuarat.
Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger