Home » » Hisham mahu rakyat adil terhadap polis

Hisham mahu rakyat adil terhadap polis

Written By canang on Ahad, 2 Mei 2010 | 5/02/2010 04:11:00 PTG

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mahu rakyat lebih bersikap adil terhadap polis dan tidak berterusan membuat andaian buruk terhadap pasukan berkenaan.

Beliau berkata isu terbaru melibatkan kejadian tembak seorang remaja, Aminulrasyid Amzah,15, Isnin lepas tidaklah perlu diulas secara keterlaluan sehingga menimbulkan pelbagai prejudis terhadap pasukan polis.

"Satu panel memantau siasatan polis terhadap kes itu akan dibuat, saya beri jaminan lantikan itu nanti akan pertimbangkan mereka yang benar-benar bebas, kita simpati terhadap apa yang berlaku, dalam masa yang sama ianya perlulah melalui proses keadilan," katanya.

Beliau yang juga naib presiden Umno memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan mesyuarat serentak 30 cawangan Umno bahagian Cameron Highlands, di Sungai Koyan, dekat Raub hari ini.

Hishamuddin berharap menerusi lantikan panel itu kelak, ianya akan dapat memantau siasatan yang dilakukan berhubung kes berkenaan bagi menegakkan apa juga keadilan.

Beliau beharap semua pihak menunggu hasil siasatan itu dan tidak berterusan membuat andaian, spekulasi atau mempolitikkan isu berkenaan.

Hishammuddin turut mempertikaikan sikap sesetengah pihak yang seringkali membuat kenyataan yang langsung dilihat tidak pernah memihak kepada pasukan polis.

"Dalam konteks orang awam ditembak, rakyat marah, tapi kita tidak lihat reaksi yang sama apabila terdapat anggota polis yang ditembak, orang ramai seperti tidak memberi simpati. Apakah ada beza nyawa orang awam dengan nyawa anggota polis?" katanya.

Mengulas mengenai kejadian seorang pengawal keselamatan keluarga Diraja Kelantan cedera parah selepas ditembak di dada oleh individu tidak dikenali di Kampung Sungai Nyior, Palekbang, Tumpat, tengah malam tadi, Hishamuddin berkata pihak polis masih menyiasat kes itu.

"Saya belum dapat laporan berkenaan, polis mengambil serius kejadian itu," katanya.

Hishammuddin juga enggan mengulas ketika ditanya kejadian itu berkaitan dengan krisis istana yang sedang berlaku di Kelantan.

Dalam kejadian 12.25 tengah malam itu, Ramli Mohamad, 50, ditembak empat das oleh empat lelaki yang menaiki dua buah motosikal ketika mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tumpat dengan menaiki motosikal seorang diri


Share this article :

Tiada ulasan:

Blogger Widget Get This Widget
 
Support : Creating Website | Johny Template | Mas Template
Copyright © 2011. Cananglahnie - All Rights Reserved
Template Created by Creating Website
Proudly powered by Blogger